Pilih Bahasa

Hanya kes-kes tertentu dibenarkan guna jeti Pasar Besar KK semasa PKP – Pesuruhjaya Polis Sabah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang cedera dan suami isteri bersama bayi lelaki yang baru lahir masing-masing dibenarkan turun dan menaiki bot di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, tengah hari tadi.

Seorang wanita yang baru selesai melahirkan anak bersama suami dan ahli keluarga dilihat berada di terminal jeti Pasar Besar Kota Kinabalu untuk balik ke kediaman mereka di Pulau Gaya. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Arahan itu diberikan sendiri oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass yang kebetulan melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sebelum kejadian itu, Zaini bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Safma, Pasar Ikan, dan Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.

Lelaki dipercayai bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan yang cedera setelah terjatuh dilihat bergegas membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di hospital. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketika berada di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, sebuah bot tiba-tiba merapat sambil seorang lelaki iaitu bapa kepada mangsa memberitahu anaknya perlu ke hospital kerana cedera akibat terjatuh di rumahnya di Lok Urai, Pulau Gaya.

Berikutan itu, Zaini terus mengarahkan supaya bot merapat ke jeti sebelum dibantu oleh anggota polis yang bertugas.

Bapa kepada kanak-kanak itu kemudian berlari menuju ke kenderaan yang sedang menunggu bagi membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika mengadakan lawatan ke SAFMA di Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pada masa sama juga, sepasang suami isteri bersama bayi lelaki mereka yang baru lahir tiba di jeti untuk pulang ke rumahnya di Pulau Gaya.

Bot yang sebelum itu menghantar mangsa cedera diarah menunggu untuk menghantar pasangan itu bersama bayi mereka pulang ke Pulau Gaya.

Pegawai polis memberikan penerangan kepada salah seorang penduduk di Pulau Gaya berhubung perintah kawalan pergerakan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Zaini berkata Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu hanya dibenarkan beroperasi pada waktu pagi iaitu jam 7 hingga 9 pagi manakala waktu petang dari 5 petang hingga 7 malam.

“Selain itu, hanya empat bot sahaja dibenarkan merapat di jeti pada satu-satu masa kecuali ada hal kecemasan seperti yang berlaku tadi,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika mengadakan lawatan di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurutnya, orang ramai diharap bersabar sepanjang PKP ini dan diminta supaya mematuhi arahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – SabahNewsToday