Pilih Bahasa

Hanya syarikat perniagaan yang mempunyai rekod baik terlibat dalam barter trade

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memastikan pihak mahupun syarikat yang terlibat dalam aktiviti perdagangan tukar barang (barter trade) mempunyai rekod baik dalam perniagaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan mahukan syarikat-syarikat terlibat dapat membekalkan barangan dagangan secara konsisten.

Katanya buat ketika ini, sebanyak 43 syarikat yang sudah menyertai aktiviti perdagangan barter trade itu sejak Januari.

Mohd Shafie merasmikan majlis Amanat Barter Trade di Kementerian Kewangan, PPNS pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kesemua syarikat ini telah memperoleh lesen dagangan mereka untuk membantu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja negeri malah juga dua negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina.

“Kita tidak mahu peniaga yang tidak mempunyai keupayaan kewangan dan jaringan kerjasama yang baik sehingga tidak mampu membekalkan barangan secara konsisten.

“Itu akan membantutkan kesuburan perdagangan yang ada. Kita mahu pastikan ada kemampanan syarikat demi kesinambungan dagangan,” katanya.

Mohd Shafie dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat kepada peniaga barter trade. Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar Majlis Pelanacran Barter Trade, di Pejabat Kementerian Kewangan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat yang terlibat juga perlu mempunyai bekalan yang mencukupi dan konsisten dengan harga yang berpatutan agar perdagangan itu dapat dilaksanakan dengan mampan.

Mohd Shafie menekankan bahawa beliau mahu perdagangan barter trade itu mampu memberi kesan kepada negara jiran terlibat, pengusaha mahupun rakyat kedua-dua negara.

“Kita mahu membantu negara jiran, contohnya harga minyak masak di negara jiran agak mahal.

“Dengan adanya sistem ini, kita mampu membantu mereka untuk mengurangkan harga minyak masak di tempat mereka,” katanya. -SabahNewsToday