Pilih Bahasa

HANYUT 36 JAM, NELAYAN SELAMAT

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LABUAN: Dua nelayan mengharungi detik cemas hanyut di laut selama 36 jam sebelum diselamatkan nelayan Brunei di perairan negara berkenaan, semalam.

Mangsa, Mangsa Albert Jukaring, 35, dan Aman Shah Jiris, 32, dipercayai keluar memancing di sekitar perairan Labuan namun bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut ke perairan Brunei.

Dua nelayan mengharungi detik cemas hanyut di laut selama 36 jam sebelum diselamatkan nelayan Brunei di perairan negara berkenaan, semalam.Gambar SNT/Ehsan Maritim

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata selepas hanyut hampir 36 jam, bot mangsa ditemui oleh nelayan Brunei yang berada di kawasan terbabit.

“Nelayan Brunei terbabit seterusnya membantu menunda bot mereka ke perairan Labuan sebelum menyerahkan mangsa kepada Maritim Malaysia, semalam.

Bot nelayan yang mengalami kerosakan enjin dihanyutkan sehingga ke perairan Brunei. Gambar SNT/Ehsan Maritim

“Semua mangsa kemudiannya dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia, Zon Maritim Labuan untuk diambil keterangan dan seterusnya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu Che Adnan berkata hasil pemeriksaan awal mendapati salah seorang nelayan terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala seorang lagi adalah nelayan tempatan.

Sementara itu, beliau menyatakan pihaknya mengambil berat berkaitan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot nelayan.

Menurutnya, beliau meminta orang ramai khusunya pemancing atau nelayan supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

“Komuniti maritim juga disarankan agar merujuk serta mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.-SabahNews Today