Pilih Bahasa

HARAP PERUNTUKAN LEBIH BANYAK BINA RUMAH MAMPU MILIK DI SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Jumlah kependudukan kian bertambah mendorong kerajaan negeri merancang membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata pertambahan penduduk dari semasa ke semasa membuatkan kediaman atau rumah menjadi suatu keperluan bagi individu atau golongan sudah berkeluarga.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong pada sidang media selepas mewakilkan Ketua Menteri sempena Pelancaran Buku KBSS dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah di Auditorium PPNS Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum mengenalpasti jumlah rumah mampu milik yang perlu dibina di negeri berkenaan namun berharap kerajaan persekutuan boleh memberikan lebih banyak peruntukkan bagi pembinaan rumah seumpama itu di seluruh negeri.

“Negeri ini dilihat masih jauh ketinggalan sekiranya mahu dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia berkaitan isu pembangunan rumah mampu milik.

“Mungkin peningkatan bilangan rumah setinggan yang semakin banyak juga menunjukkan keperluan rumah ini sudah sampai ke tahap mendesak dan perlu dilaksanakan secepatnya,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Buku Dasar Belia Sabah dan Buku Pelan Strategik Pembangunan Belia mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan bagi pembinaan rumah mampu milik di Sabah menerusi dana RM1.5 bilion dalam Belanjawan 2019 Kerajaan Persekutuan.

Keseluruhan peruntukkan terbabit adalah bertujuan bagi membina dan menyiapkan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad.

Sementara itu, Jaujan berkata pelancaran dua naskah berkaitan belia Sabah dilihat salah satu komitmen kerajaan dalam mengangkat pembangunan golongan berkenaan di negeri itu.

“Kita perlu membentuk serta membangunkan belia kerana mereka bakal menerajui kepimpinan masa hadapan.

“Jangan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan hanya disebabkan kita penggubal dasar. Pemimpin hari ini tidak akan kekal selamanya maka, kita perlu membina dan membentuk belia demi meneruskan keharmonian dan pembangunan negeri untuk masa akan datang,” katanya.-SabahNews Today