Pilih Bahasa

Harapan bubar, 36,744 bekas ahli sertai Bersatu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seramai 36,744 bekas ahli Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas pembubaran secara rasmi Harapan diberkuatkuasa hari ini.

Harapan yang dipimpin Datuk Lajim Ukin sebelum ini mempunyai kira-kira 64,000 keahlian seluruh Sabah sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.

Lajim dan para pemimpin Harapan lain membuka bendera Bersatu selepas melipat bendera Parti Harapan Rakyat Sabah. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Meskipun hanya mampu bertahan selama tiga tahun, Lajim berbangga dengan komitmen dan kerjasama padu ahli dan penyokong parti itu yang turut menjadi penyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional dan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Lajim berkata penyerahan borang keahlian untuk menyertai Bersatu akan diserahkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed sempena pelancaran parti itu di Sabah esok.

“Saya rasa tidak ada masalah kerana kita janji dengan Tun bahawa kemasukan kita ini adalah untuk penyatuan di kalangan pemimpin-pemimpin bumiputera khususnya di Sabah, jadi saya percaya ini satu platform yang dapat menghindarkan daripada perbalahan sesama kita.

Lajim (duduk tengah) dalam sidang media di Kota Kinabalu sempena Mesyuarat Khas Pembubaran Harapan. – Gambar SNT /Sitti Nor Azizah Talata

“Jadi ini satu langkah cukup baik diambil oleh Bersatu kerana akhirnya memasuki Sabah dan menjadi landasan kepada rakyat Sabah terutama pemimpin parti lain untuk sertai Bersatu,” katanya dam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Khas Pembubaran Harapan di sini hari ini.

Menurut Lajim perubahan yang diambil dengan membubarkan Harapan bertujuan memperkuatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di peringkat negeri tanpa sebarang niat untuk mengambil alih atau meminta sesuatu daripada kerajaan.

Lajim semasa berucap dalam mesyuarat khas Pembubaran Parti Harapan Rakyat Sabah hari ini. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Tambah beliau lagi bekas ahli Harapan akan menyokong tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk kebaikan rakyat dan akan menegur dasar-dasar yang tidak betul dan kurang bersesuaian.

Dalam pada itu Lajim turut menolak tanggapan bahawa kemasukan beberapa bekas pemimpin Umno ke dalam Bersatu seolah-olah mewujudkan Umno 2.0 atau Umno baharu.

Tambah beliau lagi budaya menyamakan Bersatu dengan Umno perlu dibuang kerana pemimpin Umno dahulu tidak mempunyai kepimpinan yang baik untuk parti itu.

“Jadi sekarang ini Tun cuba betulkan perkara itu, hindarkan rasuah jangan salah guna kuasa.. ini bukan sesuatu mudah untuk dilaksanakan oleh kerajaan sekarang tapi saya fikir Tun berupaya kurangkan rasuah, malah mungkin setiap hari ada tangkapan rasuah, kalau (kerajaan terdahulu) setahun jarang sekali kita dengar siapa kena tangkap oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) walaupun ada kes dan laporan,” katanya.

SOKONGAN PENUH KEPADA DATUK HAJIJI NOOR KETUAI BERSATU DI SABAH

Ditanya sekiranya Ahli Dewan Undangan (Adun) Sulaman, Datuk Hajiji Noor dilantik mengetuai Bersatu Sabah, Lajim berkata beliau akan memberikan sokongan penuh kepada Hajiji untuk menerajui parti itu di negeri ini.

Lajim menjelaskan beliau dan Hajiji serta beberapa bekas pemimpin Umno di negeri ini termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai hubungan persahabatan yang sangat baik meskipun berbeza ideologi politik. – SabahNewsToday