Pilih Bahasa

Harga RON97 turun 13 sen, RON95 dan diesel kekal untuk 2 minggu

Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Harga runcit RON97 turun 13 sen kepada RM2.63 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, bagi tempoh 1 hingga 14 Jun, bermula tengah malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam kenyataan, hari ini, berkata sempena musim cuti Aidilfitri, penetapan harga runcit produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) akan dikekalkan untuk tempoh dua minggu.

“Selepas 14 Jun, penetapan harga runcit produk petroleum ini akan kembali kepada asal di mana penetapan akan dibuat secara mingguan,” katanya.

Beliau berkata penurunan ini berikutan harga produk petroleum yang diproses dalam pasaran dunia menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, katanya, harga runcit RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.40 seliter.

“Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 1 Jun sehingga 14 Jun adalah berjumlah RM165.27 juta,” katanya.

— BERNAMA