Pilih Bahasa

Harga rumah tinggi antara isu hangat disuarakan dalam MPBN negeri Jun ini

KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) — Majlis Belia Sabah (MBS) menjangkakan isu harga rumah terlalu tinggi di pasaran menjadi antara fokus diketengahkan oleh golongan belia Sabah dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat negeri dijadual berlangsung pada 19 Jun ini.

Timbalan Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata isu itu masih menjadi perhatian dan keutamaan belia Sabah kerana ia begitu dekat di hati mereka selain belum ada penyelesaian terbaik dilihat dilaksanakan meskipun perkara berkenaan sering kali menjadi topik perbincangan hangat sehingga kini.

Katanya, MBS juga masih menerima banyak rungutan dalam kalangan belia Sabah berhubung harga rumah terlalu mahal bahkan melambung tinggi khususnya di kawasan bandar besar sehingga menyukarkan golongan terbabit memiliki rumah pertama sendiri.

“Isu harga rumah mahal dan melambung tinggi tidak hanya berlaku di kawasan bandar sahaja. Ini kerana, berdasarkan hasil resolusi MPBN dianjurkan di peringkat bahagian baru-baru ini mendapati, rumah di kawasan luar bandar juga dijual pada harga tinggi. 

“Justeru, kerajaan perlu ada mekanisme terbaik memastikan harga rumah berpatutan selain mampu dibeli oleh golongan belia. Ramai belia mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap, namun, masih ada tidak berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri kerana harga terlalu mahal,” katanya kepada Bernama, di sini.

Abqaree berkata, MPBN berperanan sebagai platform untuk anak muda menyalurkan suara, aspirasi serta idea mengenai pelbagai isu termasuk mengenai dasar kerajaan, pembangunan komuniti dan belia.

Selain isu harga rumah, Abqaree berkata, belia Sabah dijangka menyuarakan beberapa isu lain seperti peluang pekerjaan dalam sektor diusahakan negeri, peluang mengembangkan potensi perniagaan dan keusahawanan serta ruang dan peluang anak muda negeri ini dalam agensi kerajaan.

Sehubungan itu, MBS mengalu-alukan penyertaan lebih menyeluruh dan ramai dalam kalangan belia Sabah supaya suara dan harapan mereka dapat disalurkan dalam MPBN sekali gus memastikan cadangan dan resolusi terhasil melalui perundingan sehari itu mendapat perhatian pihak berwajib khususnya kerajaan. 

“MBS berharap setiap isu disuarakan belia dalam MPBN diperhalusi dan diselesaikan secara konkrit oleh pihak kerajaan dalam usaha memartabatkan majlis perundingan itu sekali gus membuktikan kerajaan cukup serius menyantuni belia sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Kerjasama erat antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah juga amat penting dalam menyelaraskan MPBN secara lebih sistematik seterusnya memastikan majlis perundingan itu benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan belia di negeri, katanya.

— BERNAMA