Pilih Bahasa

HARI KEBANGSAAN, HARI MALAYSIA ISTIMEWA TAHUN INI – CHAN

Oleh Chris Maskilone

FLAG OFF…Chan melakukan pelepasan konvoi KMJG Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos serta Hari Malaysia, 16 September pada tahun ini istimewa buat kerajaan baharu untuk Malaysia yang baharu, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.

“Selain hari kebangsaan pada 31 Ogos, kita juga akan merayakan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Kita juga berasa bangga kerana Sabah terpilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Oleh yang demikian, saya menggesa masyarakat di bandaraya serta daerah sekitarnya untuk bersama-sama kerajaan menjayakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang dan meraikan dua acara terpenting ini.

Chan melekatkan logo Sayangi Malaysiaku pada salah sebuah kenderaan awam. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

“Hal ini mustahak untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta menzahirkan Sayangi Malaysiaku,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Bandaraya di sini pagi tadi.

Tambah Chan, lembaran baharu sejarah Malaysia akan diteruskan dengan usaha semua lapisan masyarakat tanpa mengira wilayah asal untuk membangunkan lagi negara.

Menurut beliau, 31 Ogos merupakan tarikh yang istimewa untuk rakyat Sabah kerana pada tarikh tersebut Sabah mendapat status self- government sebelum bergabung dengan Sarawak serta Semenanjung dan akhirnya membentuk Malaysia.

Konvoi KMJG beraksi di Bandaraya KK dan kawasan sekitarnya. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

Justeru, ujar Chan, rakyat perlu merenung semula sejarah dan beliau berharap dalam Malaysia baharu, Sabah tidak akan dipinggirkan sebaliknya terus dimajukan.

Terdahulu, Chan menyempurnakan acara flag off konvoi KMJG yang diketuai Pegawai Penerangan Bahagian Pantai barat Selatan, Peter Tong Ah Pin, selepas mengedarkan Jalur Gemilang ke premis perniagaan di sekitar pusat bandar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka berkata, program anjuran Jabatan Penerangan Sabah dan DBKK itu akan bermula di perkarangan Wisma Dang Bandang dan akan melalui lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan telah berakhir di Pekan Telipok kira-kira pukul 2 petang tadi.”Kita akan berhenti di setiap kawasan DUN iaitu Api-Api, Luyang, Likas, Inanam dan Karambunai untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 100 Jalur Gemilang di setiap kawasan.

“Konvoi disertai oleh 15 kenderaan dan seramai 30 peserta diketuai oleh Pegawai Penerangan Kota Kinabalu, Peter Tong,” katanya.

Beliau berharap melalui program berkenaan semua lapisan masyarakan dapat sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, sekolah, premis perniagaan, rumah ibadat dan bangunan kerajaan atau swasta sepanjang bulan kebangsaan ini sehingga Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Hadir sama, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt George Abdul Rahman mewakili Ketua Polis Daerah dan Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio RTM, Narry Lako mewakili Pengarah RTM.-SabahNewsToday