Pilih Bahasa

HARI KEEMPAT – MISI KEMANUSIAAN TUDM DI PALU BERJALAN LANCAR

Oleh Mohd Adam Arinin

Krew penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibantu oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) memuatkan muatan seberat 5.6 tan dalam pesawat jenis C-130 Hercules di Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman, Balikpapan sebelum berlepas ke Kota Palu, Sulawesi, Indonesia. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

KOTA PALU (Sulawesi): Tepat jam 11.30 pagi waktu Indonesia, pesawat Lockheed C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sarat dengan 5.6 tan muatan bekalan makanan dan minuman serta pakaian, selamat mendarat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, di sini hari ini (9 Oktober).

Turut sama adalah wakil SabahNewsToday, portal berita atas talian Sabah yang diberi peluang untuk membuat liputan secara ekslusif dalam misi sehari ini.

Anggota Tentera Nasional Indonesia bersama Pasukan Pergerakan Udara TUDM bekerjasama mengeluarkan kotak bekalan di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, di Kota Palu, Sulawesi, Indonesia. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Misi hari keempat ini dilaksanakan oleh pegawai dan anggota dari No 14 Skuadron TUDM yang berpangkalan di Labuan dengan membawa bekalan bantuan dan keperluan pasukan mencari dan menyelamat bencana gempa bumi dan tsunami.

Pegawai Memerintah No 14 Skuadron, Leftenan Kolonel Roslil Khitam berkata penerbangan bermula dari Pangkalan Udara Labuan seawal 6 pagi dengan 20 krew terus ke Balikpapan, Kalimantan Indonesia terlebih dahulu untuk mengambil bekalan bantuan dari sana.

“Di Balikpapan, kita membawa muatan dengan berat bersih 5.6 tan untuk dibawa ke Palu, Sulawesi. Antara muatan yang dibawa adalah bekalan makanan dan minuman beserta pakaian.

“Difahamkan juga kita akan membawa keluar beberapa warga Indonesia dari Kota Palu untuk diterbangkan ke Balikpapan,” katanya ketika ditemubual SabahNewsToday, hari ini.

Pasukan Pergerakan Udara (Air Movement) dari No 14 Skuadron bergambar dihadapan pesawat C130H. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketika pesawat mendapat kebenaran untuk mendarat di Kota Palu, tinjauan dari udara mendapati hampir keseluruhan kawasan di sini musnah teruk akibat tsunami dan gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Ricther, 28 September lepas.

Setibanya di Kota Palu, kesemua barangan dipunggah oleh Pasukan Pergerakan Udara TUDM dan dibantu Tentera Nasional Indonesia.

Kesan ombak tsunami dapat dilihat dengan jelas dari udara. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri ini juga dapat dilihat kerosakan pada landasan utama kesan gegaran gempa bumi terutama pada struktur menara kawalan udara yang mengakibatkan seorang pegawai trafik udara maut ketika hendak menyelamatkan diri selepas mengarahkan sebuah pesawat dari Batik Air berlepas ke Makassar pada hari kejadian.

Kesan ombak tsunami dapat dilihat dengan jelas dari udara. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pengawal udara dari Palu AirNav Indonesia, Antonius Gunawan Agung mengalami kecederaan teruk apabila terpaksa terjun dari tingkat empat ketika menara mulai runtuh dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah hospital di Balikpapan menggunakan helikopter perubatan.

Kesan ombak tsunami dapat dilihat dengan jelas dari udara. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kisah keberanian Antonius Gunawan Agung menjadi tular selepas Kapten Ricosetta Mafella menceritakan kembali detik-detik beliau berkomunikasi dengan menara untuk mendapatkan pelepasan awal pesawat Airbus A320 yang dikendalikannya.

Struktur bangunan menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri yang runtuh mengakibatkan seorang pengawal trafik udara terkorban di Kota Palu, Sulawesi, Indonesia. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebaik selesai kesemua muatan dikeluarkan dari pesawat, seramai 24 orang warga Indonesia dibawa naik pesawat untuk keluar dari Palu dan diterbangkan ke Balikpapan.

Mereka terdiri daripada orang awam dan pelajar yang terkandas di Kota Palu ketika tsunami melanda dan juga beberapa sukarelawan yang telah selesai melaksanakan bantuan kemanusiaan di sini.

Sukarelawan terdiri dari warga Baikpapan dan Jawa Tengah bersama pelajar yang terkandas di Palu mengikuti pesawat C130H TUDM untuk ke Balikpapan.Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Penggunakan pesawat jenis C130H ini amat sesuai dengan misi yang dijalankan terutama melibatkan operasi penerbangan di landasan pendek.

Pesawat keluaran Lockheed ini merupakan pesawat yang serba boleh dalam melaksanakan misi membawa kargo muatan dan penumpang dalam jumlah yang banyak.

Pesawat jenis C130H merupakan pesawat yang paling sesuai untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di Kota Palu, Sulawesi, Indonesia. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tinjauan di Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman, Balikpapan juga mendapati beberapa pesawat jenis sama dari pelbagai negara turut bersama dalam misi bantuan kemanusiaan di Kota Palu.

Antaranya dari Tentera Udara Diraja Singapura, Tentera Udara Republik Korea, Tentera Udara Diraja New Zealand dan Tentera Udara Turki serta Tentera Udara Jepun.

Krew penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merakamkan gambar bersama anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas memuatkan muatan seberat 5.6 tan kedalam pesawat jenis C-130 Hercules di Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman, Balikpapan sebelum berlepas ke Kota Palu, Sulawesi, Indonesia. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

SabahNewsToday melaporkan Misi Hari Keempat bagi No 14 Skuadron TUDM yang membawa bekalan bantuan dan keperluan pasukan mencari dan menyelamat bencana gempa bumi dan tsunami berjalan lancar dan selesai.-SabahNewsToday