Pilih Bahasa

Hari Malaysia: pasukan medikal siap sedia hadapi kemungkinan kecemasan

Dr Jamilah Hashim. – Gambar Bernama

KUCHING, 14 Sept — Sebuah pusat statik kecemasan untuk memberi rawatan awal akan disediakan bagi menghadapi segala kemungkinan berkaitan masalah kesihatan ketika sambutan Hari Malaysia peringkat nasional berlangsung di Stadium Perpaduan, di sini, Isnin ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata seramai 48 anggota pasukan medikal dan kecemasan akan bertugas memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan pada hari berkenaan.

“Ini termasuk masing-masing dua pakar dan pegawai perubatan, lapan paramedik daripada pasukan medikal yang akan dibantu lapan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta 28 anggota Angkatan Pertahanan Awam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Jamilah yang juga Ketua Jawatankuasa Perubatan, Kecemasan dan Keselamatan Makanan bagi sambutan itu berkata sebanyak 11 ambulans turut disediakan untuk menghantar pesakit yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital berdekatan.

Ditanya mengenai isu jerebu yang masih melanda bandar raya Kuching dan dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini, Dr Jamilah berkata pihaknya bersiap sedia menghadapi segala masalah kesihatan berkaitan isu kualiti udara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir untuk memakai topeng muka masing-masing ketika berada di luar stadium.

— BERNAMA