Pilih Bahasa

Harimau dahan terlepas dari Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, ditangkap

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seekor harimau dahan yang dilaporkan terlepas dari kandang di Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, di sini, pagi tadi berjaya ditemui semula oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, hari ini.

Harimau dahan berkenaan dikatakan terlepas kira-kira jam 6.30 pagi tadi sebelum satu operasi memburu haiwan berkenaan dilancarkan sekitar kawasan taman berkenaan.

Harimau Dahan ditangkap menggunakan tranquiliser atau ubat pelali. Gambar SNT

Haiwan berkenaan ditemui semula kira-kira jam 8.30 malam tadi dan kini dibawa ke klinik zoo untuk pemeriksaan kesihatan.

Laporan mengenai kehilangan haiwan berkenaan tular selepas satu surat pemberitahuan dikeluarkan kepada beberapa kampung sekitar taman berkenaan.

Dalam surat berkenaan memaklumkan supaya sesiapa yang menemui haiwan berkenaan diminta supaya berhati-hati dan segera menghubungi JHL untuk tindakan segera.

Harimau Dahan yang terlepas ditangkap semula. Gambar SNT

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi mengesahkan haiwan berkenaan ditemui semula.

“Haiwan berkenaan berjaya ditangkap menggunakan ‘tranquilliser’ atau ubat penenang haiwan berkenaan,” katanya. -SabahNewsToday