Pilih Bahasa

Harish John Manoharan muncul juara tenis lelaki Saga IX

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Bintang tenis Sandakan, Harish John Manoharan dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki Sukan Sabah (Saga) IX setelah menewaskan Mohd Noor Ikmal dari Lahad Datu dengan 8-4 dalam perlawanan akhir pagi tadi.

Saga Keningau IX kali ini merupakan kejayaan manis buat pemain tenis berusia 15 tahun itu kerana dalam kejohanan sama di Sandakan dua tahun lalu Harish John sekadar meraih perak.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (tengah) bersama para pemenang dan pengurus pasukan selepas penyampaian pingat bagi acara tenis kategori perseorangan lelaki di Kompleks Sukan Keningau. – Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Dalam perlawanan itu Harish mempamerkan aksi mantap dan ternyata pengalaman memisahkan warna pingat buat kedua pemain meskipun lawannya itu turut memberikan tentangan sengit dalam pertandingan tersebut.

Gangsa bagi kategori perseorangan lelaki itu dikongsi bersama oleh Shan Daniel (Kota Kinabalu) dan Md Zaim Aiman dari Tawau.

Terdahulu dalam separuh akhir kategori itu Harish John meleburkan harapan Shan Daniel 8-0 manakala Mohd Noor pula mengalahkan Md Zaim dengan 8-2.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (kiri) mengalungkan pingat emas kepada Harish John semasa penyampaian pingat bagi acara tenis kategori perseorangan lelaki di Kompleks Sukan Keningau. – Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Sementara itu Presiden Kelab Tenis Remaja Sandakan, Taren Sunil Manoharan berkata kedua pemain berbakat besar itu menjelmakan aksi perlawanan mantap dan jika dibimbing dengan betul mereka berpotensi pergi lebih jauh dalam sukan itu.
 
Selepas ‘berkhemah’ selama seminggu di Keningau sempena Saga IX kali ini, Taren yakin sukan tenis di Sabah berada di landasan yang betul namun masih memerlukan lebih banyak perhatian dan pendedahan daripada segi kejohanan.
 
“Saya faham bahawa kebanyakan daerah tidak cukup pemain wanita untuk membentuk pasukan untuk Saga, justeru sesuatu perlu dilakukan mengenai perkara ini,” katanya.
 
Katanya sebelum ini beliau sering meminta agar jurulatih negeri mengadakan lawatan ke daerah-daerah lain untuk memperkenalkan dan mempromosikan sukan tenis di semua daerah di Sabah selain bagi menggalakkan lebih ramai atlet wanita menceburi sukan itu. – SabahNewsToday