Pilih Bahasa

Harris Salleh digesa sokong usaha mengembalikan status rakan kongsi Sabah dalam Malaysia

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh digesa berhenti membuat kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan rakyat negeri ini, terutama dalam mendapatkan hak Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata Harris telah menggambarkan Malaya sebagai ‘harimau sedang tidur” yang tidak harus diganggu oleh Sabah.

Ir. Aziz Julkarnain. – Gambar SNT/Ihsan Umno Sabah

Katanya Harris juga menempelak pemimpin-pemimpin Sabah agar berhenti berjuang membuta tuli untuk status rakan kongsi setara.

“Mereka mungkin akan menuntut perkongsian setara. Sebagai contoh, mereka mungkin akan menuntut kuasa atau kawalan imigresen yang sama. Lebih penting, mereka mungkin menuntut untuk menyimpan cukai atau hasil mereka atau meminta Sabah membayar bahagian yang sama untuk pertahanan.

“Kenyataan Harris Salleh yang cuba menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin pada hari ini dalam usaha untuk menuntut kesamarataan sebagai rakan kongsi setara, adalah amat memeranjatkan dan tidak sesuai masanya.

“Apakah dengan menuntut hak-hak Sabah sebagaimana termaktub di dalam MA63 menjadikan kita kurang patriotik? Tidak sama sekali!

“Menghormati dan melaksanakan MA63 yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan itulah yang akan membuatkan kita lebih patriotik,” tegasnya dalam satu kenyataan akhbar pada hari ini.

Aziz menyelar kenyataan Harris yang merujuk bahawa tidak ada status setara di antara Sabah, Sarawak dan Negeri-negeri Tanah Melayu dengan merujuk deklarasi yang dibuat oleh Perdana Menteri yang pertama Tunku Abdul Rahman.

Beliau meminta agar bekas Ketua Menteri itu melihat kembali kepada sejarah 28 April 1962 dalam perbahasan Parlimen, Tunku telah menjelaskan bahawa Negeri-Negeri Borneo dan Tanah Melayu akan menjadi rakan kongsi setara.

Maka, dengan kefahaman itulah terbentuknya negara yang bernama Malaysia.

Berkenaan pindaan Artikel 1(2) pada 27 Ogos 1976 melalui Akta A354 yang telah menurunkan taraf Sabah dan Sarawak sebagai salah satu daripada 14 negeri, Harris telah menafikan keterlibatan kerajaan Berjaya pada masa itu.

Namun, Aziz mempersoalkan mengapa Harris tidak bersuara pada masa itu mendesak agar dikembalikan kepada status asal sewaktu beliau memegang jawatan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Keningau pada tahun 1977.

“Saya ingin bertanya kepada Harris Salleh sendiri, untuk rekod, apakah beliau bersetuju dengan pindaan tersebut atau menentangnya? Dan saya memperingatkan beliau bahawa pindaan tersebut telah menidakkan kemajuan yang setara antara dua wilayah iaitu wilayah Tanah Melayu dan Wilayah Negeri-negeri Borneo,” tambahnya.

Aziz juga turut mempertikaikan bagaimana Perjanjian Minyak pada tahun 1976 dibuat secara terburu-buru.

“Mungkin Harris Salleh patut juga menjelaskan alasan mengapa beliau menandatangani Perjanjian Royalti Minyak tergesa-gesa pada 14 Jun 1976, tanpa dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri dan diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri ketika itu sebagaimana peruntukan Perkara 43 Perlembagaan Negeri Sabah?  Bukankah Sabah baru sahaja kehilangan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Fuad Stephens dalam nahas udara yang meragut nyawanya pada 6 Jun 1976?

“Bagaimanakah seorang individu yang tidak sampai lapan hari memegang jawatan Ketua Menteri boleh memeterai satu perjanjian besar untuk memindah hak minyak Sabah selama-lamanya kepada Petronas dan tidak boleh dibatalkan? 

“Adakah beliau tampil dengan “kertas putih” yang menyenaraikan butiran mengenai kelebihan dan kekurangan perjanjian tersebut untuk dibincangkan secara menyeluruh dan terperinci terlebih dahulu?

“Rakyat Sabah akan terus mengenang rentetan sejarah ini untuk selama-lamanya,” katanya.

“Tahukah Harris bahawa Wilayah Negeri-negeri Borneo adalah terdiri daripada negeri-negeri termiskin di negara ini? Yang mana 40 peratus hasil pendapatan negara berpunca daripada sektor minyak dan gas,” soalnya lagi.

Selain daripada itu, Aziz juga turut mempersoalkan status Labuan yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan hasil minyak dan gas yang ditemui di kawasan tersebut.

“Saya ingin bertanya pada Harris Salleh berkenaan penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan pada 16 April 1984, apakah ianya juga melibatkan segala hasil minyak dan gas yang berada di sekitar pelantar benuanya?

Apakah Sabah turut mendapat royalti daripada minyak di persekitaran Wilayah Persekutuan Labuan tersebut?” katanya.

Sebagai generasi muda yang mewarisi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu, Aziz meminta agar Harris terus menyokong pemimpin-pemimpin pada hari ini untuk menuntut hak-hak negeri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).-SabahNewsToday