Pilih Bahasa

HARUNGI PERJALANAN JAUH SERTAI PERTANDINGAN TARIAN PERINGKAT DUNIA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Jourdrey Klein Ak Andrew (lima dari kiri baris belakang) bersama ahli Kumpulan Sri Mahir Dancer, SMK Matang Hilir, Sarawak sebelum membuat persembahan pada pertandingan Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Kami bertolak seawal jam 5 pagi daripada sekolah dan mengharungi perjalanan darat kira-kira tiga jam untuk sampai ke sini.

“Walaupun agak memenatkan namun kami tidak menganggapnya suatu halangan malahan ia menjadi pembakaran semangat untuk berjaya dalam pertandingan bertaraf dunia ini,” kata Ketua Kumpulan Tarian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matunggong, Kudat, Elna Ellysia Epson, 16.

Elna Ellysia berkata penyertaan kumpulannya itu dalam Dance World Cup: Malaysian Qualifier tahun ini bukan kali pertama kerana pernah mengikuti pertandingan tahun lalu namun tidak berjaya ke peringkat antarabangsa di luar negara.

Menurutnya, kumpulannya melakukan latihan secara berterusan kira-kira lebih tiga minggu sebelum pertandingan disebabkan berazam untuk menebus kekalahan tahun sebelum ini.

Ditanya mengenai gerak tari dipertaruhkan, remaja berkenaan menyatakan kumpulannya mengetengahkan tarian suku kaum Rungus kerana beranggapan ia masih kurang mendapat perhatian berbanding seni tarian lain yang terdapat di Sabah.

“Tetapi kami juga ada menerapkan sedikit tarian Sumazau beberapa tarian Melayu lain agar menonjolkan kepelbagaian dalam persembahan di hadapan juri profesional,” katanya.

Dianjurkan buat kali kedua, Acara Dance World Cup: Malaysian Qualifier 2019 disertai oleh kira-kira 287 peserta daripada 23 pasukan terdiri murid sekolah rendah, menengah dan orang dewasa daripada seluruh negara.

Sebanyak 53 kategori dipertandingkan pada acara pemilihan yang berlangsung selama dua bermula 9 dan 10 Februari itu.

Antara kategori dipertandingkan termasuklah mini solo hip hop, junior solo modern, senior duo trio national dan children solo ballet.

Semua peserta yang memenangi pertandingan terbabit bakal berentap di peringkat antarabangsa pada 28 Jun sehingga 6 Julai hadapan di Braga, Portugal.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Sri Mahir Dancer daripada SMK Matang Hilir, Sarawak, Jourdrey Klein Ak Andrew, 16, berkata dia bersama 12 lagi rakan sudah melakukan persediaan latihan seawal tiga bulan semata-mata untuk memastikan kejayaan dalam pertandingan tarian dunia itu.

“Kami berlatih hampir setiap hari pada waktu malam kerana sibuk menghadiri sesi pembelajaran serta kelas tambahan pada sebelah siang. Oleh itu, saya mahupun rakan-rakan sanggup berkorban masa melakukan sesi latihan pada waktu malam.

“Adakalanya kami terpaksa membuat kerja sekolah atau ulangkaji pelajaran pada waktu rehat ketika latihan disebabkan tidak mahu persediaan kami bagi pertandingan ini mengganggu prestasi dalam pembelajaran.

“Selain itu, ramai ahli kumpulan ini adalah penari baharu dan memerlukan banyak latihan serta pendedahan. Kami berharap penyertaan sulong kami dalam pertandingan ini bakal membuahkan hasil dan seterusnya boleh mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya. – SabahNews Today