Pilih Bahasa

HARUS 1.0 MINTA MENTERI LETAK JAWATAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Kumpulan Harus 1.0 yang mengambil bahagian dalam perhimpunan aman di Tugu Peringatan Double Six Sembulan. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kira-kira 150 ahli Kumpulan Hak Asal Rakyat Untuk Sabah (Harus) 1.0 yang dianggotai individu pelbagai latar belakang mengadakan perhimpunan secara aman di Tugu Peringatan Double Six Sembulan bagi membantah pengiktirafan Bugis dan Jawa sebagai anak negeri di Sabah.

Jurucakap kumpulan itu Joseph Philip berkata mereka mahu Menteri Undang Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar menarik balik kenyataan beliau berhubung cadangan untuk mengiktiraf Bugis dan Jawa sebagai orang asli negeri ini.

Joseph Philip. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Dalam masa sama mereka turut mendesak Aidi agar meletakkan jawatan secara terhormat sebagai menunjukkan tanggungjawab terhadap polimik yang berlaku dalam kalangan rakyat di negeri ini ekoran isu pengiktirafan itu.

“Kami sebagai orang asal hairan beliau sebagai menteri undang-undang seharusnya tahu tentang hak orang asal. Mustahil beliau tidak kenal asal Bugis dan Jawa yang mempunyai negara asal.

“Selain itu kami juga mahu seluruh rakyat Sabah (orang asal) bangkit untuk kita jaga hak bersama-sama. Kalau bukan kita siapa lagi yang mahu menjaga hak kita. Jangan biarkan hak kita sebagai orang asal hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Perhimpunan aman oleh Kumpulan Harus 1.0 bagi membantah cadangan pengiktirafan Bugis dan Jawa sebagai orang asal. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan bermaksud mahu mewujudkan perseteruan di antara orang asal dengan masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah.

Katanya mereka mahu mengemukakan bantahan terhadap sikap segelintir pemimpin dalam kerajaan negeri yang memperalatkan Bugis dan Jawa untuk kepentingan politik dan mengkucar kacirkan keadaan harmoni rakyat sedia ada.

“Kita bukan mahu memusuhi mereka (Bugis dan Jawa) mereka adalah saudara ini juga. Kita sudah hidup aman damai selama ini.. kenapa kita perlu ubah status quo. Itu adalah persetujuan daripada nenek moyang kita dulu untuk tinggal secara aman di Sabah.

“Jangan disebabkan oleh kenyataan atau provokasi sebegini, (pihak lain) Cino (Kadazan-Cina) pun mahu menuntut dijadikan orang asal. Akhirnya orang asal akan berasa ditindas. Disebabkan kenyataan Adi ini suasana harmoni semacam terganggu,” katanya.

Joseph berkata mereka tidak mahu isu pengiktirafan itu dijadikan batu loncatan untuk kepentingan politik  mana-mana pemimpin untuk mendapatkan undi daripada Bugis dan Jawa. – SabahNewsToday