Pilih Bahasa

Hasil karya guna bahasa negeri mampu wujud sub pelancongan Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Jo-Anna (lapan dari kiri) menggunakan pembesar suara sebagai simbolik perasmian Majlis Makan Malam dan Tayangan Perdana Telefilem Suang Latod Sa’apon di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penghasilan filem atau telefilem mengutamakan bahasa serta budaya negeri mampu mewujudkan sub pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan di negeri berkenaan sejajar dengan kedudukan sektor pelancongan yang menjadi penyumbang utama ekonomi Sabah.

Menurut beliau sektor pelancongan Sabah terus menunjukkan prestasi yang baik dan bertumbuh sihat serta berdaya tahan ketika ini.

“Sepanjang tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, jumlah ketibaan pelancong di negeri ini sudah mencecah sebanyak 2.87 juta orang dan ini adalah petanda baik untuk kita terus berusaha membawa industri pelancongan negeri ke aras tertinggal.

“Selain itu, penggambaran di lokasi sekitar negeri juga dapat memperkenalkan lagi pelbagai tempat menarik yang jarang atau tidak pernah dipaparkan sebelum ini. 

“Kita berharap usaha ini sekaligus dapat menarik lebih ramai orang luar untuk berkunjung ke Sabah selepas ini,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan Tayangan Perdana Telefilem Suang Latod Sa’apon di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri, Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Jo-Anna (lapan dari kiri) mewakili Ketua Menteri merasmikan majlis makan malam dan Tayangan Perdana Telefilem Suang Latod Sa’apon di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai telefilem Sa’apon hasil pengarahan P Dik Ganai itu, Mohd Shafie berkata beliau memuji usaha terbabit dalam misi mengangkat bahasa, identiti dan budaya Suang Lotud menerusi pembikinan telefilem.

Beliau berkata ia secara tidak langsung memberi nafas baharu dalam bidang perfileman tempatan Sabah malah menunjukkan Suang Lotud juga mampu diangkat dalam perfileman jika diberi peluang selain dapat memulihara bahasa ibunda agar tidak hilang ditelan zaman dan dapat diwariskan kepada generasi muda.

“Saya turut diberitahu barisan pelakon terdiri daripada penduduk tempatan Sabah dan kebanyakannya adalah orang Tuaran sendiri yang berani menyahut cabaran berlakon walaupun mereka tidak pernah berlakon sebelum ini. 

“Ini adalah salah satu usaha yang baik dalam menggilap bakat tempatan khususnya masyarakat Suang Lotud dalam dunia perfileman.

Jo-Anna (kanan) menerima cenderamata sempena perasmian Majlis Makan Malam dan Tayangan Perdana Telefilem Suang Latod Sa’apon di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Saya berharap usaha seperti ini tidak terhenti di sini saja tetapi akan terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagi filem bermutu dalam bahasa Suang Lotud pada masa akan datang yang boleh diangkat ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita juga mahu semua penggiat seni di negeri ini untuk terus meneroka variasi cerita berinspirasikan budaya tempatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut menyarankan agar setiap filem dihasilkan di negeri berkenaan dijaga kualiti penerbitannya, bukan sahaja serta lokasi penggambaran memaparkan keindahan dan keunikan negeri Sabah tetapi lebih baik jika jalan ceritanya menggambarkan identiti budaya Sabah sendiri.

Beliau turut berharap agar stesen televisyen di negara ini slot tayangan yang cukup bagi membolehkan lebih banyak filem, telefilem atau drama arahan tempatan dalam bahasa ibunda dapat ditayangkan. – SabahNewsToday