Pilih Bahasa

Hatrik dari Luis Garcia bantu Liverpool Reds menewaskan Manchester Reds 3-2

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Para peminat bola sepak disajikan aksi menarik yang menemukan bekas bintang Liverpool dan Manchester United dalam perlawanan dipanggil “The Battle of the Reds” di Stadium Likas di sini semalam.

Keputusan perlawanan akhirnya berpihak kepada Liverpool Reds yang menyaksikan Ketua Pasukan, Luis Garcia menjaringkan hatrik untuk menewaskan Manchester Reds 3-2 .

Pasukan Liverpool Reds meraikan kejayaan muncul juara Battle of the Reds di Stadium Likas, di sini semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun, dalam babak pertama Manchester Reds mengawal permainan dan nyaris menjaringkan gol pendahuluan melalui Danny Webber namun cubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Liverpool Reds dan juga bekas penjaga gol kebangsaan England, David James pada minit ketiga.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan pemain Liverpool Reds sebaik tamat perlawanan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin.

Lima minit kemudian, Webber menyempurnakan hantaran Dwight York untuk menebus kekecewaan dan menjaring gol pertama Manchester Reds.

Skuad Liverpool Reds juga beberapa kali mencemaskan pintu gol lawan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Vladimer Smicer pada minit ke-15 namun penjaga gol Manchester Reds, Paul Rachubka berjaya menepis bola keluar.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berjabat tangan dengan pemain lagenda Manchester United, Keith Gillespie , sebelum Battle Of The Reds diantara Manchester Reds menentang Liverpool Reds di Stadium Likas, malam kelmarin. Liverpool Reds menang 3-2. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kedudukan 1-0 berpihak kepada Manchester Reds kekal dalam separuh masa pertama.

Selepas masa rehat, Liverpool Reds tampil garang memburu gol penyamaan dan hanya enam minit selepas wisel separuh masa kedua, Garcia berjaya menewaskan penjaga gol Manchester bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Pemain Lagenda Manchester United, Danny Webber diasak oleh pemain lawan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pada minit ke-61, Garcia berjaya melepasi perangkap offside dan dengan mudah menewaskan Rachubka untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Dengan satu gerakan menarik yang menghibur hati para penonton pada minit ke-71, Garcia menjaringkan gol hatrik dan menjadikan Manchester Reds ketinggalan 1-3.

Pemain Liverpool Reds, Jason McAteer mengalami kecederaan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Antara yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan buat pertama kalinya diadakan di Malaysia ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Penyerang Manchester Reds, Teddy Sheringham (10) bersama Danny Webber (18) tidak berpuas hati dengan penjaga garisan . Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Manchester Reds berjaya merapatkan jurang 2-3 melalui Yorke pada masa kecederaan namun ianya sudah terlambat.-SabahNewsToday