Pilih Bahasa

Hayati, fahami falsafah dan matlamat perjuangan parti

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di semua peringkat iaitu negeri, bahagian, cawangan dan sayap-sayap digesa supaya menghayati dan memahami falsafah dan matlamat perjuangan parti sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

Ketua Pimpinan Bersatu Negeri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara perkara yang perlu diberikan penekanan ialah memastikan jentera parti digerakkan menggunakan pendekatan yang inklusif sejajar dengan teras parti yang menjadi wahana untuk semua kaum pribumi.

Hajiji (bertopi) semasa mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah. Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

Katanya dalam konteks negeri Sabah, gagasan ‘pribumi’ menjadikan Bersatu jauh lebih inklusif kerana parti ini terbuka untuk semua etnik pribumi di Sabah.

Menurutnya masyarakat Bumiputera di Sabah lebih cenderung untuk dirujuk berdasarkan identiti kaum masing-masing, berbanding dikategorikan sebagai kaum Melayu.

Katanya ini bertepatan dengan pendekatan Kerajaan yang membuka ruang pengenalan kaum yang lebih terbuka dalam sistem pendaftaran negara, yang mengambil kira kepelbagaian etnik yang terdapat di Sabah.

“Justeru, pendekatan Bersatu yang membawa gagasan Pribumi adalah satu pendekatan yang inklusif dan terangkum.

“Inilah asas perjuangan parti, Bersatu adalah wadah untuk semua kaum pribumi yang terdapat di Sabah.

“Maka, kita harus pastikan parti digerakkan menepati asas dan falsafah perjuangan tersebut, selain memperjuangkan agenda yang membawa kepentingan bersama rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Hajiji berkata, ini merupakan antara perkara yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah yang dipengerusikan oleh beliau di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata, ini juga adalah antara mesej penting yang akan disampaikan dalam siri Jelajah Kepimpinan Bersatu Sabah ke seluruh 25 bahagian di Sabah, yang akan bermula pada bulan September 2019 depan.

Katanya, Bersatu Negeri akan memberikan sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie -SabahNewsToday