Pilih Bahasa

HAYATI KEMERDEKAAN BUKAN BERMUSIM

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi Jaafar (tengah) bersama sebahagian belia Kemabong yang menyertai konvoi bermotosikal. – Gambar SNT/Ehsan Jaafar Wahid

KEMABONG: Generasi muda perlu menghayati erti kemerdekaan sepanjang masa, bukan hanya menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar berkata, penghayatan terhadap erti kemerdekaan sangat penting memandangkan generasi muda kini seakan-akan kurang menitikberatkan nilai-nilai patriotik dalam diri mereka.

“Kemerdekaan adalah nikmat yang patut disyukuri dalam usaha ke arah memperkukuhkan kemajuan serta kerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi agar misi memperoleh taraf negara maju dan berpendapatan tinggi dapat dicapai.

“Dalam Bulan Kemerdekaan inilah kita seharusnya mengimbas kembali segala usaha yang dilakukan pimimpin terdahulu untuk membina negara serta cabaran-cabaran yang dihadapi supaya kita terus memperbaharui iltizam untuk membina sebuah negara yang harmoni, maju dan progresif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Daerah Tenom di Dataran Pekan Kemabong di sini.

Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata, adalah menjadi tanggungjawab segenap rakyat Malaysia untuk memastikan negara ini terus kekal aman,sejahtera dan makmur.

“Kestabilan ekonomi dan politik yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan pemimpin dan pejuang kemerdekaan sejak dahulu hingga sekarang,” ujarnya. – SabahNewsToday