Pilih Bahasa

Hector Ramos, Dennis Buschening perkuatkan barisan hadapan skuad Tambadau

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Barisan skuad Liga Super Tambadau Sabah kini hampir lengkap dengan kedatangan dua pemain import Hector Omar Ramos Lebron dan Dennis Buschening.

Hector Ramos atau Pito bukan asing bagi penyokong bola sepak negeri kerana pemain berusia 29 tahun ini merupakan penyerang skuad Tambadau pada musim 2018.

Peter menyampaikan jersi skuad kepada Hector Ramos sambil dilihat oleh Dennis Buschening (tiga kanan), Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto (dua kiri), Pengurus Pasukan Henry Saimpon (kanan) dan Setiausaha Agong Safa Andrew Majanggim (kiri) di Ibupejabat Safa petang kelmarin. Gambar SNT/Chris Maskilone

Bermain 18 perlawanan penyerang pasukan kebangsaan Puerto Rico itu menjaringkan 20 gol untuk Sabah dalam kempen Liga Premier 2018.

Ramos juga memenangi anugerah PFAM-Asiana Pemain Terbaik Bulan Jun 2018 Liga Premier.

Namun pada penghujung musim, Ramos tidak memperbaharui kontraknya dengan Sabah dipercayai masalah daripada pengurusan Safa lama sebelum diambil alih oleh Peter.

Semasa sidang media pengenalan pemain baharu, di Ibu Pejabat Safa di sini, Presiden Safa Datuk Peter Anthony berharap Ramos kali ini bukan sahaja memperkuatkan serangan tetapi juga akan memberi bimbingan kepada para pemain muda sepasukan.

Dennis Buschening, pemain Thailand berketurunan Jerman yang memulakan kariernya di kelab remaja ternama Jerman Borussia Dortmund pada tahun 2007 diharap memperkuatkan bahagian tengah Sabah.

Berusia 28 tahun, Buschening mempunyai pengalaman bermain untuk beberapa kelab di Jerman dan juga Thailand sebelum berjaya menarik perhatian pengurusan Tambadau.

Buschening akan membantu Ramos dan Rodoljub Paunovic yang bermain untuk musim keempat dengan Sabah di bahagian hadapan.

Seorang lagi import Sabah ialah pemain pertahanan tengah berasal dari Korea Selatan dan bermain untuk musim kedua dengan Tambadau, Park Tae Su (quota import Asia).

Menurut Peter, hanya satu lagi kekosongan iaitu bahagian tengah yang perlu diisi.

Peter (tengah) bersama Ramos (tiga kanan), Buschening (empat kanan), Wan Muhammad Azraie (lima kiri), Zubir Azmi (empat kiri) dan Shahrizam (tiga kiri) di sesi pengenalan pemain. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kita sebenarnya sudahpun mendapat pemain untuk mengemudi bahagian midfield tetapi kita terlepas pemain ini yang mendapat tawaran lebih tinggi dari pasukan lain,” kata Peter.

Beliau bagaimanapun yakin kekosongan itu bakal diisi selepas kejohanan Piala Governor Jawa Timur di Indonesia bermula 8 Feb.

Skuad Tambadau Sabah telah diundang untuk bermain dalam kejohanan yang melibatkan lapan pasukan, termasuk kelab-kelab elit Indonesia.

Malaysia diwakili oleh Sabah dan Selangor FC.

Sementara itu Peter turut memperkenalkan dua pemain import lokal dari Semenanjung iaitu Muhammad Zubir Mohd Azmi (pertahanan) dan Wan Muhammad Azraie Wan Teh (penjaga gol).

Pada musim lalu bekas pemain kebangsaan Muhammad Zubir bermain posisi pertahanan kiri untuk pasukan Liga Super Pahang.

Penjaga gol, Wan Muhammad Azraie pula bermain untuk pasukan Liga Super Terengganu musim lalu.

Peter juga memperkenalkan pemenang kasut emas Liga KDM Malaysia, Shahrizam Sahar yang telah diserap ke dalam skuad Tambadau.

Selain Paunovic dan Park, 18 lagi pemain Sabah musim lalu dikekalkan iaitu Rozaimie Rohim, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Rawilson Batuil, Alto Linus, Maxsius Musa, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Ummareng Bacok, Hamran Peter, Mohd Azwan Abd Fattah, Mazlan Yahya, Ariusdius Jais dan Mohd Shukri Baharun.

Terdahulu diumumkan ialah Ketua Jurulatih Sabah iaitu Kurniawan Dwi Yulianto yang akan dibantu oleh Jelius Ating dan Burhan Ajui.-SabahNewsToday