Pilih Bahasa

Helikopter AW139 milik PGU Sabah perkukuh keselamatan Negeri Di Bawah Bayu

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Aset terbaharu yang diterima oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis Kontinjen Sabah mampu memperkukuhkan keselamatan di negeri ini terutamanya di kawasan pantai timur.

Helikopter jenis AgustaWestland model AW139 ini dilengkapi sistem pandu arah canggih yang membolehkan pesawat melakukan penerbangan pada waktu malam bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyaksikan penyerahan replika kunci helikopter jenis AgustaWestland model AW139 diantara Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kontinjen Sabah, hari ini. Gambar SNT/Ihsan Pasukan Gerakan Udara Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata aset ini amat diperlukan untuk menjaga keselamatan dan tinjauan melalui udara bagi membanteras kegiatan jenayah.

“Pesawat ini mempunyai kemampuan untuk mencapai kelajuan maksima 300 kilometer sejam dengan durasi penerbangan selama empat jam.

“Ini sudah pasti menjadi salah satu usaha baik dalam menjaga keselamatan negsra menerusi pemantauan yang lebih pantas dan efektif,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Aset Helikopter AgustaWestland AW139 di tarmac Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kontinjen Sabah, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shafie, beliau juga turut meluluskan permohonan PDRM untuk memperbesarkan hangar pasukan ini untuk menempatkan helikopter dan memudahkan penyelenggaraan pesawat.

Helikopter jenis AgustaWestland model AW139 yang diterima oleh PDRM Kontinjen Sabah di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kontinjen Sabah, hari ini. Gambar SNT/Ihsan Pasukan Gerakan Udara Sabah

“Saya sudah meminta pihak pemaju Tanjung Aru Development Authority (TADA) untuk berbincang dengan pihak PDRM berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya berkata penempatan helikopter ini di Sabah bertujuan untuk memenuhi keperluan operasi di Malaysia Timur selain tambahan kepada dua helikopter bersaiz kecil dan dua kapal terbang enjin tunggal sedia ada di pangkalan ini.

“Peranan PGU kontinjen Sabah tidak hanya dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang melalui udara tetapi turut mencakupi perkhidmatan bantuan kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta terutamanya kepada masyarakat di negeri ini sekiranya bantuan kemanusiaan diperlukan melalui udara.

“PGU Kontinjen Sabah juga banyak menyumbang kepada kejayaan operasi seperti pemantauan udara di kawasan persempadanan bagi mengesan aktiviti penyeludupan dan jenayah jentas sempadan,” katanya. -SabahNewsToday