Pilih Bahasa

Henti jual tanah: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Rakyat khususnya penerima geran tanah di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menjual hak milik mereka itu semata-mata untuk mendapatkan hasil keuntungan dalam bentuk `one-off’ atau hanya sekali.

Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tanah itu sepatutnya dimajukan dengan pelbagai bentuk pelaburan seperti sektor hartanah yang dapat memberikan keuntungan jangka masa panjang.

Mohd Shafie (tengah) melancarkan Dashboard JTU sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JTU 2018 di Dewan Serbaguna Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu.
Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau menjelaskan kawasan tanah yang dibangunkan misalnya, dalam bidang hartanah akan dapat mempelbagaikan hasil pendapatan pemilik melalui sewaan atau jualan perumahan yang dibina oleh pemaju.

“Ada pemilik tanah ini menjual tanah mereka selepas permohonan untuk mendapatkan tanah daripada kerajaan diluluskan kerana mahukan keuntungan cepat, tapi mereka tidak pula fikir keuntungan jangka panjang.

“Sebenarnya geran-geran yang diserahkan oleh kerajaan itu untuk membantu rakyat mencari sumber pendapatan, namun ada juga yang masih mahu menjual tanah walaupun telah dinasihati dan diberi peringatan agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Penyerahan Geran Subsidiari (Strata) di Dewan Serbaguna Wisma Tanah dan Ukur di sini hari ini.

Mohd Shafie turut merasmikan Bangunan Unit Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas), melancarkan Dashboard JTU serta majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Dalam majlis itu juga beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 kepada 86 kakitangan JTU yang terdiri daripada pelbagai gred seluruh Sabah bagi mengiktiraf sumbangan mereka selama bertugas di jabatan itu.

Ketika diminta mengulas mengenai pencerobohan tanah kerajaan yang didakwa dijadikan penempatan setinggan di Sepanggar, Mohd Shafie berkata perkara itu telah lama berlaku dan kerajaan tidak pernah memberikan tandatangan atau kebenaran kepada penduduk terbabit.

Katanya, pegawai penguatkuasa dari JTU telah diarahkan untuk memastikan sebarang pencerobohan tanah kerajaan ditangani dengan tegas agar ia tidak terus berleluasa. – SabahNewsToday