Pilih Bahasa

Hentikan polemik bahasa Bunduliwan dan fokus usaha halang bahasa ibunda Kadazandusun dari pupus

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Masyarakat Kadazandusun harus meninggalkan polemik bahasa Bunduliwan kerana mereka kini berdepan masalah lebih besar iaitu kepupusan bahasa ibunda.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata sudah tiada keperluan untuk mempertikaikan bahasa Bunduliwan yang digunapakai dalam pengajaran subjek Bahasa Kadazandusun di peringkat sekolah dan pengajian tinggi.

Madius bersama dengan para pemenang. Gambar SNT/Ihsan MTI

“Apa yang penting, kita seharus sedar bahawa kita kini berhadapan dengan cabaran sebenar. Bukanlah mustahil bahasa ibunda kita akan pupus disebabkan kebanyakan daripada kita lebih suka bertutur dalam bahasa Melayu dan lain-lain dengan anak-anak kita,” katanya.

Tambah beliau ini mengakibatkan semakin kurang terutama dari golongan generasi muda yang fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Pemenang kategori sekolah rendah bawah sedang beraksi. Gambar SNT/Ihsan MTI

“Bahasa Bunduliwan sudahpun diperakui oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama dan kita sebenarnya telah capai begitu banyak kemajuan dalam bahasa Kadazandusun, untuk itu kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan pertandingan bercerita dalam bahasa KDM peringkat negeri edisi pertama di Dewan Terbuka KDCA di sini pada Rabu.

Madius menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan bercerita dalam Bahasa KDM. Gambar SNT/Ihsan MTI

Dalam pada itu, Madius menyatakan antara penyebab utama masalah ini ialah sikap para ibubapa itu sendiri yang merasakan lebih mudah berkomunikasi dengan anak, cucu dan cicit mereka dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

“Saya sarankan kita bermula dari sini. Para ketua keluarga dan pemimpin masyarakat perlu memberi perhatian terhadap perkara ini dan mencari penyebab mengapa orang kita lebih gemar bertutur menggunakan bahasa lain daripada bahasa ibunda mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau memuji inisiatif jawatankuasa pelaksana induk Pesta Kaamatan serta mereka yang terlibat dengan penganjuran pertandingan yang julung kali diadakan ini.

Pihak menyampaikan cenderamata kepada Madius sebagai tetamu kehormat. Gambar SNT/Ihsan MTI

Sememangnya, usaha ini bertepatan dalam memperkembangkan penggunaan bahasa ibunda dikalangan murid sekolah masyarakat Kadazandusun.

Madius berharap usaha memertabatkan bahasa ibunda masyarakat Kadazandusun bukan hanya dibuat hanya semasa sambutan Pesta Kaamatan

“Ianya perlukan usaha yang konsisten,” ujarnya.

Selepas itu, Madius menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Seramai 38 perserta dari sekolah-sekolah rendah seluruh Sabah menyertai pertandingan.-SabahNewsToday