Pilih Bahasa

Heret Kerajaan Pusat ke mahkamah tuntut hasil negeri bukan jalan terbaik

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Cadangan mengheret kerajaan pusat ke mahkamah untuk memastikan kerajaan persekutuan mematuhi undang-undang tertinggi dalam membayar tuntutan hasil negeri bukan langkah yang wajar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri masih banyak pilihan untuk merealisasikan tuntutan isu berkenaan selain mengambil tindakan mahkamah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal (kiri) bersama Dr. Jefrey Kitingan sebaik berakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Saya sedar dan tahu bahawa tuntutan ini agak begitu lama iaitu lebih daripada 50 tahun yang sepatutnya telah kita dapat jayakan daripada awal kerana itu adalah satu kerangka yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kerana dalam perlembagaan itu adalah ibu kepada perjanjian antara pembentukan Malaysia dan saya sedar sepanjang kita mentadbir negara ini bukan mudah.

“Kerana kita merupakan sebuah negara, kita tidak mengheret kerajaan persekutuan kepada mahkamah, dan itu bukan satu langkah yang elok untuk kita pastikan supaya dapat merealisasikan tuntutan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr jeffery Kitingan (Star-Tambunan) berkenaan cadangan mengambil tindakan mahkamah agar kerajaan pusat membayar tuntutan kerajaan negeri terhadap hasil negeri mengikut masa yang dijanjikan.

Mohd Shafie berkata tuntutan itu bukanlah mudah, namun beliau telah mengarahkan terhadap badan tertentu untuk meneliti dan terdapat beberapa isu yang perlu dipersetujui.

“Tetapi tidak elok rasanya untuk saya mengumumkan di sini, baik Perdana Menteri sendiri yang mengumumkan pemdekatan kita itu,” katanya. -SabahNewsToday