Pilih Bahasa

Himpunan bantah PSS kurang sambutan – Peter

Oleh Junaidi Ladjana

Peter ketika ditemui media semasa kempen di Langkawit Kimanis. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KIMANIS: Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang diadakan di pekan lama Membakut, di sini, semalam tidak mendapat sambutan masyarakat khususnya penduduk Kimanis.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony berkata ini kerana jumlah kehadiran yang terdiri daripada peserta luar itu sekaligus memperlihatkan himpunan berkenaan tidak mendapat sambutan.

“Dalam pelancaraan Tolak PSS yg diadakan pada hari ini (semalam) penduduk Kimanis tidak datang baliknya golongan yang datang adalah orang dari serata daerah. 

“Mereka (penduduk Kimanis) tidak percaya dengan itu oleh kerana PSS juga adalah hasil daripada kerajaan Umno/BN terdahulu.

Peter berucap di hadapan penduduk ketika mengadakan kempen di Langkawit Kimanis. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Mereka yang membawa masuk PTI ini bukan Warisan dan kita cuma berada satu tahun lapan bulan sembilan bulan membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen di Langkawit, di sini, semalam.

Kira-kira 600 peserta menyertai Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman PSS di pekan lama Membakut yang dianjurkan Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Sorak Sabah. 

Sementara itu, dalam program berkenaan seramai 175 ahli Umno/BN bertindak keluar parti dan menyokong Warisan.

Peter menerima borang keahlian parti Warisan dari wakil penduduk Langkawit Kimanis. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

Peter yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah berkata, dengan kemasukan ahli-ahli ini menguatkan lagi Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

“Berbaki dua hari lagi pengundian PRK Kimanis makin ramai memberi sokongan kepada Warisan dan ini menunjukkan sesuatu yang baik kepada calon Warisan Datuk Karim Bujang untuk mencipta sejarah pada 18 Januari ini.

“Saya amat percaya dengan kemasukkan sokongan dua tiga hari kebelakangan ini dan malam ini serta esok (hari ini) sudah pasti menguatkan lagi parti Warisan dalam PRK Kimanis ini,” katanya. – SabahNewsToday