Pilih Bahasa

Hormati pemergiannya…

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Tragedi berdarah yang mengorbankan pegawai dari Pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka ketika latihan demontrasi keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pagi semalam, menerima ucapan takziah oleh warga net.

Malah tidak putus-putus warga net menulis diruang komen Facebook SabahNewsToday mengucapkan takziah dan semoga ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian berat ini.

Namun ada juga netizen mempertikaikan tindakan menggunakan peluru hidup untuk gimik demonstrasi berkenaan.

Ada juga netizen mencadangkan supaya membuat persiap kemas bagi mengelak perkara tidak diingin berlaku.

Bagaimanapun apa yang menarik diruang komen daripada pemilik akaun Facebook iaitu Deno Zaharudin dimana dalam tulisannya ‘Penjelasan Penggunaan Peluru Hidup Dalam Latihan Komando’:

PENJELASAN PENGGUNAAN PELURU HIDUP DALAM LATIHAN KOMANDO..

Menggunakan peluru hidup sewaktu demonstrasi bukanlah sekadar untuk persembahan tetapi ia adalah latihan sebenar dilaksanakan secara rutin dalam kem latihan komando.

Latihan ini adalah standard paling tinggi dalam komando dan kaedah sama turut digunapakai komando antarabangsa.

Dia turut memetik kenyataan Majalah Perajurit iaitu sebuah majalah berunsur ketenteraan, menggunakan peluru hidup dalam setiap latihan adalah penting untuk membentuk tahap keyakinan yang tinggi buat anggota dalam berhadapan situasi sebenar, peluru sebenar, dan nyawa sebenar.

Mengakhiri coretannya, hanya anggota komando sahaja yang menerima latihan sebegini.

Bagaimanapun apa yang diharapkan netizen menghormati dan tidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh mengundang rasa tidak senang daripada ahli keluarga Allahyarham.

Terdahulu, Allahyarham Mejar Zahir maut terkena tembakan ketika melakukan gimik demonstrasi Pelancaran Divisyen Ke-5 dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila Allahyarham berlakon sebagai pengganas dengan lengkap memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Tembakan itu menyebabkan Mohd Zahir rebah sebelum dua anggota tentera membawanya ke tepi padang kawad dan kelihatan menahan kesakitan sambil darah keluar daripada mulut dan hidung.

Mejar Zahir kemudian diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera sebelum dikejarkan ke HQE I menggunakan ambulans.

Bagaimanapun Mohd Zahir disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Jabatan Forensik HQE I.-SabahNewsToday