Pilih Bahasa

Hotel empat bintang baharu dibina di bandar raya

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 301 bilik bakal dibina di Jalan Coastal di tengah-tengah bandaraya di sini.

Hotel 13 tingkat itu akan dikenali sebagai Hotel Grand Liberty yang dibangunkan oleh Grand Liberty Sdn Bhd dengan kos RM120 juta.

Gambaran artis Hotel Grand Liberty. Gambar SNT/Ihsan Grand Liberty Sdn Bhd

Majlis pecah tanah projek tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis.

Pengarah Grand Liberty Sdn Bhd Datuk Tan Kar Leong berkata pembangunan hotel empat bintang itu adalah hasil cetusan semangat daripada kerajaan Sabah baharu yang memberi ruang kepada pihaknya membantu membangunkan industri pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata hotel itu kelak akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik mesyuarat, kolam mandi berbumbung dan restoran.

Shafie (empat kiri) bersama Tan (tiga kiri) dalam majlis pecah tanah itu tadi. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Lebih kurang 300 peluang pekerjaan semua sektor daripada peringkat pengurusan hotel sehingga ke peringkat kumpulan sokongan akan diberikan sepenuhnya kepada rakyat Sabah,” katanya.-SabahNewsToday