Pilih Bahasa

Hubungan Malaysia-Korea erat melalui perkongsian tarian Line Dance

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Mengerat perpaduan antara negara melalui tarian. Itu usaha dilakukan D’Linedancerz Tawau yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemilik pusat tarian dari negara Korea.

Dengan termeterai MoU yang berlangsung di sebuah kelab terkenal di daerah ini semalam, ia sekaligus bakal menyaksikan hubungan antara dua negara menjadi lebih erat dan mendatangkan pelbagai impak positif termasuk memperkenalkan program Cuti-Cuti Tawau.

Lebih 100 ahli D’Linedancerz Tawau bergambar kenangan dalam satu majlis yang diadakan di sebuah kelab terkemuka di Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Jurulatih Tarian D’linedancerz Tawau, Sophia Kong berkata, MoU berkenaan dilakukan dengan jayanya ekoran negara Korea sentiasa menyokong program yang dijalankan D’linedancerz Tawau setiap tahun.

“Memorandum antara dua negara ini mampu memberi persefahaman dua negara dan dapat berkongsi idea bersama dalam memajukan industri tarian Line Dance Modern yang semakin mendapat tempat di Malaysia,” katanya.

Acara menandatangani memorandum antara Malaysia dan Korea dalam mengeratkan perpaduan melalui tarian Line Dance. Sophia Kong berdiri paling kanan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya semua negara mempunyai tarian versi ini dan menggunakan melodi lagu yang sama serta pergerakan tarian yang sama termasuk dari negara Korea.

“Line Dance Modern ini juga adalah satu latihan kecergasan bukan sahaja untuk golongan usia 30 tahun ke atas malah remaja juga digalak untuk menyertainya.

Majlis diserikan dengan persembahan tarian Line Dance. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jadi kami di D’linedancerz Tawau mengalu-alukan penyertaan setiap generasi tidak kira tua atau muda untuk bersama-sama memantapkan kesihatan tubuh badan kita,” katanya lagi.

Sophia yang ditemui dalam majlis Red Hot Party D’Linedancerz Tawau itu berkata, tahun ini adalah tahun ke-8 penubuhan D’Linedancerz Tawau dan akan merasmikan pusat tarian baharu di Kubota Square pada Ahad.

Katanya terdapat tiga jurulatih profesional akan mengajar tarian berkenaan yang bukan sahaja untuk golongan wanita namun lelaki juga dialu-alukan menyokong tarian itu yang asalnya dari negara barat.

“Kita sudah mempunyai lebih 100 pelajar tanpa mengira usia termasuk golongan lelaki dan kini kami dalam proses menambah ahli selepas pembukaan kelas tarian berkenaan di sini (Tawau),” katanya.-SabahNewsToday