Pilih Bahasa

Hubungi Pusat Khidmat Adun Kemabong untuk bantuan: Jamawi

Jamawi Jaafar. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

TENOM: Rakyat khususnya di kawasan Kemabong dinasihatkan agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata arahan itu dikeluarkan untuk kebaikan semua pihak khususnya rakyat di negeri ini dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Jika tiada sebarang urusan yang mendesak adalah lebih baik penduduk berada di rumah bersama keluarga disamping menjaga aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, walaupun di  Tenom dan Kemabong setakat ini belum ada dilaporkan sebarang kes jangkitan Covid-19, namun keadaan ini tidak seharusnya melekakan penduduk di situ sebaliknya perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan kerajaan.

Beliau juga berharap program keramaian seperti perkahwinan, pertunangan, majlis hari jadi dan sebagainya yang melibatkan orang ramai perlu ditangguhkan.

Tambahnya lagi pemimpin akar umbi seperti pengerusi MPKK dan ketua kampung perlu menjelaskan maklumat yang tepat mengenai larangan dan bahaya virus Covid-19 kepada komuniti setempat.

“Saya faham kerana faktor komunikasi maklumat yang jelas kepada penduduk kampung tidak sampai dan inilah peranan pemimpin masyarakat tempatan,” katanya.

Katanya program yang telah dijadualkan oleh Pusat Khidmat Adun Kemabong yang melibatkan kehadiran beliau ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata bagi penduduk kampung khususnya di Kemabong boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Adun Kemabong iaitu 016-8185014 untuk perkhidmatan kecemasan disediakan 24 jam secara percuma. – SabahNewsToday