Pilih Bahasa

Hukuman kutip sampah dengan memakai jaket “Gorila” menanti kutu sampah di Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jaket tertera tulisan “Kutu Sampah”, “Gorila”, “Kerja Amal”, dan gambar seekor gorila akan digunakan oleh individu yang membuang sampah di kawasan bandar Tawau.

Selain memakai jaket berkenaan, individu yang didapati bersalah juga akan dimasukkan ke dalam lori polis dan dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM500 serta diarahkan mengutip sampah di kawasan bandar.

Jaket yang akan digunakan oleh pesalah yang membuang sampah di bandar Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata hukuman seperti itu dikenakan bukan bertujuan menganiaya masyarakat sebaliknya sebagai langkah memberi kesedaran dan pengajaran.

“Saya rasa masyarakat akan lebih sedar bahawa kita lakukan ini untuk menegakkan undang-undang…bukan mencari salah sesiapa tetapi untuk keselamatan dan kesejahteraan serta kebersihan daerah Tawau.

“Mereka yang ditangkap kerana membuang sampah ini akan diambil tindakan mengikut proses undang-undang yang ada termasuk dikompaun dan diarah kutip sampah sendiri serta melakukan kerja amal mengikut tempoh masa yang akan diputuskan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas menyampaikan taklimat Operasi Payung Bersepadu di Tapak Tamu Ahad Sabindo. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Operasi Payung Bersepadu, di Tamu Ahad Sabindo, dekat sini, hari ini.

Katanya Operasi Payung Bersepadu ini bukan sahaja dilaksanakan di Tamu Ahad Sabindo namun ia juga diperluas di beberapa kawasan yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan, pelaksanaan akan berada di kawasan Sabindo dan pesisir pantai Traulsen sebelum diperluas ke kawasan lain.

“Ops Payung Bersepadu ini akan membabitkan semua penguatkuasa baik negeri atau persekutuan untuk melaksana segala undang-undang yang ada.

“Antara penguatkuasa yang akan bertugas ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Majlis Perbandaran Tawau (MPT),” jelasnya.

Peter berharap masyarakat dan peniaga memberi kerjasama dalam pelaksanaan operasi ini dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, seorang pelanggn Tamu Ahad Sabindo, Saidah Bassal, 50, berkata inisiatif yang diambil oleh pihak penguatkuasa dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang membuang sampah adalah yang terbaik.

Saidah Bassal. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita mahukan kebersihan untuk daerah ini. Jadi saya menyokong dan berterima kasih kepada semua penguatkuasa kerana mengambil pendekatan untuk mendidik masyarakat menjaga kebersihan bukan untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat keseluruhannya.

“Kita sebagai ibu bapa juga perlu pantau anak-anak supaya tidak melakukan kesalahan. Dengan cara itu, anak kita akan tahu tanggungjawab yang perlu dilakukan iaitu menjaga kebersihan,” katanya. – SabahNewsToday