Pilih Bahasa

I-Workshop buka peluang perniagaan kepada usahawan PKS Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Madani (kiri) dan Chee Chi Vun (kanan) ketika sidang media mengenai i-Workshop di Penampang. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Perancangan pembinaan bengkel bersepadu “Integrated Workshop” (i-Workshop) merupakan peluang terbaik bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini mengembangkan potensi perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Ts Madani Sahari berkata pelaksaan projek berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan bengkel tetapi turut  membuka ruang buat penyedia perkhidmatan lain.

“Bengkel ini boleh diibaratkan seperti pusat sehenti kerana ia bukan hanya menyediakan perkhidmatan membaiki kenderaan malah terdapat beberapa kemudahan lain antaranya salon, gimnasium dan kedai permainan (gaming shop).

“Kemudahan ini dilihat lebih memudahkan pelanggan bengkel selain dapat mengisi masa terluang sementara menunggu kereta siap diperiksa atau baiki,” katanya ketika sidang media projek i-Workshop di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Great Plus Auto Parts Sdn Bhd, Datuk Chee Chi Vun.

Madani (kiri) bersalam dengan Chee Chi Vun (kanan) selepas sidang media mengenai i-Workshop di Penampang. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Mendapat kerjasama Great Plus Auto Parts Sdn Bhd, bangunan i-Workshop pertama di Sabah itu terletak di Penampang dan majlis pecah tanah projek terbabit dilaksanakan pada 14 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Madani berkata pelaksanaan projek terbabit turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan selain menjadi tempat latihan industri bagi golongan pelajar.

“Bangunan untuk projek ini dijangka siap dalam masa enam bulan dan dalam jangka masa sama, kita juga akan mencari kira-kira 10 usahawan bengkel serta 15 usahawan dalam lain perkhidmatan untuk permulaan i-Workshop.

“Harga bagi setiap perkhidmatan disediakan juga dilihat harus lebih kompetitif dan berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Madani berkata pihaknya juga merancang bengkel i-Workshop itu menjadi pembekal alat ganti kepada bengkal lain di negeri ini.

Menurutnya, ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada pelanggan serta pengusaha bengkel lain yang berminat memperoleh alat ganti kenderaan daripada i-Workshop. – SabahNews Today