Pilih Bahasa

Ianya keputusan Jamilah sendiri, kata AJK PBS Sindumin

Oleh Chris Maskilone

DONGONGGON: Sembilan Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS Sindumin menafikan telah keluar parti bersama dengan mantan Ketua Bahagian Datuk Jamilah Sulaiman.

Diketuai oleh Setiausaha Bahagian, Rasul @ Rajol Kapulin, seramai sembilan AJK dan enam orang ahli PBS N28 Sindumin sebaliknya mengistiharkan sokongan mereka terhadap Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Rasul bersama AJK PBS Sindumin memegang surat ikrar sokongan terhadap kepimpinan Presiden PBS bersama dengan ahli Biro Politik parti di Donggongon hari ini. Gambar SNT/Ihsan Biro Media PBS

“Ini adalah keputusan beliau sendiri (untuk keluar dari PBS), tetapi kami tetap setia kepada parti dan akan bekerja keras untuk mengukuhkan lagi parti di Bahagian Sindumin,” kata Rasul.

Beliau menambah bahawa mereka tidak pernah meletak jawatan dan keluar dari parti, seperti yang didakwa oleh Jamilah.

“Kami turut menyatakan sokongan yang berterusan kepada Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan akan meneruskan perjuangan teras parti untuk kebaikan rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Rasul berkata demikian selepas menyerahkan surat ikrar setia kepada Dr Maximus selesai Mesyuarat Biro Politik PBS di ibu pejabat parti, di sini, hari ini.

Empat orang lagi tidak dapat hadir ke perjumpaan semalam namun telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kepimpinan tertinggi parti.

Jamilah, pada Isnin lalu, mengumumkan keputusannya untuk keluar dari PBS dan melepaskan semua jawatan dalam parti.

Beliau mendakwa kehilangan keyakinan terhadap presiden parti, yang dikatakannya tidak konsisten.-SabahNewsToday