Pilih Bahasa

Ibu bapa, guru jadi peranan kejayaan pelajar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Nizam bergambar bersama pelajar dan penduduk kampung selepas majlis selesai. Gambar SNT / Ihsan PPBM Tawau

TAWAU: Sokongan dan dorongan daripada ibubapa serta guru diperlukan bagi merealisasikan hasrat untuk melihat kejayaan anak-anak di sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan anak-anak bergantung kepada peranan, komitmen, keprihatinan, kasih sayang dan kesungguhan ibu bapa dan guru-guru.

“Anak-anak akan mengalami proses pembudayaan ilmu, disiplin, sahsiah kepimpinan dan kerohanian secara formal di sekolah.

“Bagaimanapun, proses ini perlu konsisten dan berkesinambungan di rumah secara informal yang akan dipantau sepenuhnya oleh ibu bapa, selain bantuan moral dan dorongan daripada masyarakat khususnya pemimpin masyarakat,” katanya.

Nizam bergambar bersama pelajar yang menerima anugerah cemerlang Kampung Blok 31. Gambar SNT / Ihsan PPBM Tawau

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sukan Sekolah 2018 peringkat Kampung Blok 3, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Masjid Nurul Hidayah, Abdul Aziz Alimpunus.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa memberi fokus kepada kemajuan pendidikan negara dalam usaha melahirkan modal insan berilmu dan menyumbang kearah pembentukan warga minda kelas pertama bagi menjana kemajuan negara.

“Justeru, usaha untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak perlu diberikan sokongan dan dorongan semua pihak jika ingin melihat negara kita terus mencapai kecemerlangan dimasa hadapan,” katanya.

Terdahulu, program anjuran Masjid Nurul Hidayah itu dijalankan bagi memberi penghargaan kepada pelajar yang tinggal di kampung berkenaan selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam ujian peperiksaan di sekolah masing-masing.-SabahNewsToday