Pilih Bahasa

IBU BAPA PERLU UTAMAKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Oleh Alfred Petrus

Ben (empat kiri) menyempurnakan gimik perasmian program berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KUDAT: Ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak bermula dari peringkat sekolah rendah bagi mencipta kecemerlangan di masa hadapan.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Chong Chen Bin @ Ben Chong berkata ia penting dan perlu diberi penekanan kerana pendidikan di peringkat sekolah rendah adalah penentu hala tuju pendidikan murid tersebut.

Katanya apabila murid itu mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah rendah, tidak mustahil kecemerlangan tersebut dapat diteruskan di peringkat lebih tinggi.

“Saya menyarankan ibu bapa supaya sentiasa memantau atau mengambil tahu mengenai perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

“Selain itu, ibu bapa juga harus peka dalam mencorakkan perwatakan anak bagi mengelakkan mereka dari terjebak kepada gejala tidak sihat dan negatif” katanya ketika berucap pada Program ‘Back To School’ dan Perkhidmatan Gunting Rambut Secara Percuma kepada lebih 600 murid dan pelajar sekolah di Dataran Tomborungus baru-baru ini.

Antara sukarelawan yang menjayakan program Perkhidmatan Gunting Rambut Secara Percuma kepada lebih 600 murid dan pelajar sekolah. Gambar SNT/Alfred Petrus

Ben yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Kapor mengingatkan bahawa tanggungjawab membentuk masa depan anak-anak tidak seharusnya diletakkan kepada guru-guru semata-mata.

Tambahnya walaupun guru mempunyai lebih pengetahuan dalam aspek pembelajaran namun kerjasama daripada ibu bapa juga penting dalam usaha meningkatkan kemahiran belajar murid dari peringkat sekolah rendah.

“Kerjasama erat antara guru dan ibu bapa mampu melahirkan murid yang cemerlang,”katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Ben berkata tujuan program itu diadakan adalah untuk membantu meringankan sedikit sebanyak bebanan kewangan ibubapa.

“Terima kasih juga kepada 17 pengunting rambut sukarela dan jentera parti komponen kerajaan yang bekerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya. -SabahNewsToday