Pilih Bahasa

IBU DAN ANAK ANTARA DI TAHAN POSITIF SYABU

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Seorang perempuan berumur 45 tahun dan juga anak perempuannya, 17, antara yang ditahan oleh Pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepanjang serbuan Ops Cegah yang dijalankan pada Isnin malam.

Kedua beranak berkenaan berjaya ditahan di rumah mereka dan kedua-duanya didapati positif dadah jenis syabu.

Antara individu yang berjaya ditahan positif dadah. Gambar SNT/Ihsan AADK

Menurut Ketua Operasi Azry [email protected], sepanjang Operasi pada malam berkenaan, pihaknya berjaya menahan seramai 11 orang individu yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan yang kesemuanya gagal ujian saringan dadah jenis Methamphetamine (syabu) ketika tangkapan dibuat.

Tambah Azry, sewaktu operasi dijalankan, dua suspek lelaki cuba bertindak agresif terhadap anggota yang bertugas bagi melepaskan diri.

Lelaki yang bersembunyi di dalam tangki dipenuhi air. Gambar SNT/Ihsan AADK

“Namun kedua-duanya mereka akhirnya berjaya diberkas.

“Manakala satu tangkapan yang dibuat di atas sebuah rumah kedai turut menyaksikan seorang suspek lelaki hampir lemas ketika nekad bersembunyi di dalam sebuah tangki air sebelum menjerit meminta bantuan dan kemudian diselamatkan oleh anggota yang bertugas sebelum menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Lelaki berkenaan yang masih dalam pengawasan pihak AADK akan didakwa dan bakal berhadapan dengan hukuman tiga tahun penjara dan tiga sebatan kerana menggunakan dadah semasa masih dalam tempoh pengawasan jika sabit kesalahan.

Operasi yang dijalankan itu adalah berdasarkan maklumat awam dan juga risikan yang dibuat oleh pihaknya selama seminggu.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Dalam pada itu, AADK menasihatkan agar masyarakat sentiasa peka terhadap permasalahan dadah dan segera melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing bagi mengelakkan permasalahan ini semakin sukar dikawal dan mencetuskan pelbagai jenayah sosial yang lain. -SabahNewsToday