Pilih Bahasa

Ibu dan tiga anaknya antara lima rentung dalam kebakaran di Tenom

Oleh Junaidi Ladjana

TENOM: Seorang ibu dan tiga anaknya antara lima yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan lebih kurang 22 kilometer dari pekan di sini, tengah malam tadi.

Lima mangsa termasuk empat beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Menara Pamilaan, Tenom, tengah malam tadi. Gambar SNT /Ihsan Bomba

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, mangsa yang rentung dikenali sebagai Khatijah Omar, 35 dan tiga anaknya iaitu Sapura, 3, Zahid, 6, dan Sakirin, 9.

Seorang lagi mangsa ditemui rentung dikenali sebagai Adira Suhaili, 12, iaitu anak saudara kepada Khatijah.

Sementara suami Khatijah, Sudirman Hajar melecur di kepala dan tangan.

Anggota bomba memadam kebakaran dalam kebakaran di Kampung Menara Pamilaan, Tenom. Gambar SNT /Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.46 tengah malam, sepasukan bomba dari BBP Tenom diketuai oleh Zainal Sinsian bersama lima anggota menggunakan sebuah jentera bergegas ke lokasi kebakaran.

“Setiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan sumber air daripada tangki jentera.

Anggota bomba menutup mayat rentung mangsa yang ditemui dalam kebakaran tersebut. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Terdapat enam mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan lima mangsa ditemui rentung oleh pasukan bomba manakala seorang mangsa cedera melecur di kepala dan tangan.

“Mangsa yang melecur kemudian dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran terkawal jam 1.25 pagi tadi namun operasi masih dijalankan.

Punca kebakaran yang turut memusnahkan sebuah kereta Kancil masih dalam siasatan.

“Maklumat lanjut akan dikemaskini,” katanya. -SabahNewsToday