Pilih Bahasa

Ibu dipercayai bawa bayi terjun dari tandas tingkat enam hospital

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Ibu dan bayi meninggal dunia selepas terjun dari tingkat enam sebuah hospital di Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan media sosial

LAHAD DATU: Seorang ibu dan bayinya meninggal dunia selepas wanita terbabit dipercayai terjun dari tandas yang terletak di tingkat enam sebuah hospital di Lahad Datu pagi tadi.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu mangsa berusia 16 tahun manakala bayi perempuannya berusia lima bulan disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, kaki dan tangan

Ketua Pois Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata siasatan awal mendapati anak mangsa menerima rawatan di hospital berkenaan selama 11 hari akibat jangkitan kuman di bahagian paru-paru. 

“Doktor yang merawat mengarahkan jururawat untuk menanggalkan oksigen pernafasan anak mangsa kerana pernafasannya sudah kembali normal. 

“Mangsa kelihatan mendukung anaknya sambil berlegar-legar di kawasan wad sebelum meminta izin untuk ke tandas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dan bayinya ditemui oleh pengawal keselamatan di tingkat bawah dan dipercayai terjun dari tandas di tingkat enam dalam ketinggian 60 meter. 

“Mangsa dan anaknya mengalami parah di kepala, tangan dan kaki. Kita kini sedang menjalankan siasatan mengenai punca mangsa bunuh diri bersama anak,” katanya.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan hari ini. – SabahNewsToday