Pilih Bahasa

Ibu kecewa anak sepatutnya hadir SPM ditahan kerana dadah

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Seorang pelajar lelaki sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini namun apa yang berlaku sebaliknya apabila dia ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di sebuah taman perumahan di daerah ini, awal pagi tadi.

Lebih pilu, ibunya yang mengetahui kejadian itu menangis hingga bertindak menampar anaknya menyebabkan pegawai AADK yang melihat situasi turut sedih sebelum menenangkan keadaan.

Anggota AADK menahan seorang lelaki disyaki penagih dadah kerana bertindak agresif ketika Ops Cegah di Kudat. Gambar SNT/Ihsan AADK

Ketua AADK Kudat, Fazilawati Aji berkata remaja lelaki berusia 17 itu ditahan dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 5 pagi tadi.

“Pelajar itu ditahan di sebuah taman perumahan dan hasil saringan awal air kencing dia didapati positif dadah syabu. Dia turut mengaku baru menghisap syabu.

“Ibunya yang dimaklumkan mengenai perkara itu kemudian datang ke pejabat AADK Kudat lalu menangis melihat anaknya yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM hari ini, tetapi ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi.

Antara individu yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah di Kudat. Gambar SNT/Ihsan AADK

Fazilawati berkata pihaknya turut menahan 12 lagi individu termasuk seorang wanita kerana didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua mereka berusia 17 hingga 40 tahun ditahan di beberapa kawasan kampung di daerah ini iaitu Kampung Langkon, Bengkongan, Tandak dan Taman WTK.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, pelajar lelaki itu bersama 12 lagi suspek dibawa ke pejabat AADK Kudat untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK kudat di talian 088611757 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran.

“Operasi itu membabitkan seramai 15 anggota AADK Kudat dan AADK Negeri yang diketuai oleh Erwan Roslan,” katanya. -SabahNewsToday