Pilih Bahasa

Ibu rebah dapat tahu anak penagih dadah

Oleh Mohd Adam Arinin

Anggota AADK menunjukkan bekas aluminium yang berisi peralatan menghisap syabu sementara ibu suspek sedang ditenangkan ahli keluarga selepas mendapat tahu anak lelakinya terlibat dengan dadah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seorang ibu hampir pengsan sebaik mendapat tahu anak lelakinya terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Kampung Keliangau, Manggatal, di sini, awal pagi tadi.

Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah menahan suspek semasa berada dalam bilik tidurnya.

Suspek berusia 26 tahun itu mendakwa sedang bersiap keluar rumah untuk mendapatkan bekalan dadah sebelum diberkas AADK.

Lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta itu mengaku dirinya sudah terlibat dalam penggunaan dadah jenis syabu sejak berumur 21 tahun.

Anggota AADK menahan suspek semasa berada dalam bilik tidurnya di Kampung Keliagau, Manggatal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketika dibawa keluar, ibu suspek yang berada di halaman rumah rebah selepas salah seorang anggota menunjukkan sebuah bekas aluminum yang berisi alat menghisap syabu.

Wanita berusia 40-an itu kemudian ditenangkan oleh adik beradik suspek dan dibantu oleh anggota AADK.

Ketua Operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah Panduan Paglin berkata hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan menunjukkan suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek mendakwa kali terakhir mengambil bahan terlarang ini pada siang tadi (isnin).

Anggota AADK menahan salah seorang daripada sembilan suspek penagih dadah dalam Op Cegah Siri 10/2019 di sekitar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Suspek juga mengaku kekerapannya menghisap syabu seorang diri sebanyak tiga kali seminggu dan pada Jumaat lepas, suspek menghisap dadah sebanyak dua kali sehari,” katanya kepada SabahNewsToday yang menyertai Op Cegah AADK Kota Kinabalu Siri 10/2019.

Operasi selama tujuh jam yang bermula jam 9 malam ini berjaya menahan seramai sembilan lelaki kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut Panduan, kesemua sembilan individu terbabit positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Kesemua suspek berumur antara 26 hingga 51 tahun akan disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1996,” katanya. -SabahNewsToday