Pilih Bahasa

IDS laksana kajian Pelan Pembangunan Kadamaian

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan (Adun) Kadamaian, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan Pejabat Daerah Kota Belud, sedang melaksanakan kajian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035)

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata kajian yang bermula pada Mei 2019 itu melibatkan masa enam bulan dan dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri pada Januari 2020.

Ewon (duduk tengah), Johan (dua kiri) dan Diyanah (kanan) bergambar bersama pihak pengurusan tertinggi IDS, pegawai UPPM, MPKK dan Pejabat Adun Kadamaian. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Pada bulan Mac tahun ini, saya telah meminta agar IDS membantu saya membuat kajian bagi menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035) sebagai satu panduan dan input rakyat Kadamaian kepada pihak kerajaan dan pelbagai rakan strategik lain untuk pembangunan kawasan Kadamaian.

“Kajian ini bermula Mei hingga November tahun ini dan kita akan menjemput Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal untuk melancarkan pelan induk ini pada Januari tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi IDS yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr.Johan Ariffin Samad, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Ewon diperkenalkan dengan kumpulan penyelidik yang terlibat dalam kajian tersebut diketuai oleh Pengarah Projek, Anita Limjoon.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, aspirasinya ialah ingin melihat pembangunan mapan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor utama, iaitu pelancongan dan pertanian yang didukung oleh infrastruktur asas yang baik dan aktiviti keusahawanan desa.

“Kajian ini akan menggunakan pendekatan bottom-up, iaitu dapatan daripada akar umbi terutama jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari 74 buah kampung di seluruh Kadamaian.

“Ia akan menjadi input utama kepada penyediaan pelan tersebut. Pada masa yang sama, saya juga akan mengadakan pertemuan di antara IDS dengan ahli majlis perundingan pembangunan Kadamaian yang saya tubuhkan tahun lepas untuk turut sama memberikan input,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Ewon juga memperkenalkan urusetia Pejabat Perhubungan Adun Kadamaian, UPPM Kadamaian dan Pejabat Daerah Kota Belud kepada pengurusan tertinggi IDS.

“Kajian ini adalah aspirasi saya semasa kempen pilihanraya tahun lepas bagi melaksanakan satu pelan induk pembangunan Kadamaian berasaskan kepada aspirasi komuniti di kawasan ini supaya mudah untuk kita merancang pelaksanaannya nanti.

“Saya berterima kasih kepada IDS kerana menjadikan ini sebagai projek utama mereka tahun ini dan saya amat yakin kebersamaan kita dalam kepimpinan kerajaan boleh mempercepatkan usaha merealisasikan pelan pembangunan ini kelak,” katanya.

Terdahulu, Ewon menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Daerah Kota Belud yang baru, Puan Hajah Doris William @ Diyanah Abdullah, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) yang baru, Peter Jiton dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) yang baru, Abd. Wahab Sidek.-SabahNewsToday