Pilih Bahasa

IKEA belum bercadang buka cawangan di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) menerima cenderakenangan daripada Pengurus Hutan Kayu dan Perhutanan Global Ikea Sweden, Ulf Johansson (tiga dari kanan). Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Syarikat perabot antarabangsa, IKEA belum bercadang untuk membuka cawangannya di Sabah walaupun terdapat permintaan tinggi agar gedung popular itu beroperasi di Kota Kinabalu.

Pengurus Perhutanan dan Bekalan Kayu Global Sweden, Ulf Johansson berkata syarikat berkenaan kini memfokuskan kepada urus niaga dan penempahan barangan atas talian kepada para pelanggannya di Malaysia.

“Kami selalu ditanya sama ada IKEA akan membuka beberapa lagi cawangan termasuk di Sabah. Sebenarnya kami sentiasa mahu menggembangkan perniagaan, namun dalam masa sama kami juga telah mengubah cara jualan langsung secara atas talian.

Pengurus Hutan Kayu dan Perhutanan Global Ikea Sweden, Ulf Johansson (dua dari kanan) dan rombongan bertukar pandangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan). Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan Sabah

“Pelanggan kami kini termasuk di Sabah boleh menempah barangan IKEA secara atas talian kerana fokus syarikat sekarang adalah seboleh-bolehnya mempunyai kos operasi yang efisien,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabat beliau di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu.

Menurut Ulf, kunjungan tersebut bagi membincangkan kerjasama IKEA dengan kerajaan negeri selama 20 tahun dalam usaha pemuliharaan hutan bersama Yayasan Sabah di negeri ini.

Beliau berkata IKEA telah memulakan projek pemuliharaan hutan di Sabah sejak 1998 dan sehingga kini mereka telah menanam kira-kira tiga juta pokok di Luasong, Tawau.

Katanya projek itu dilaksanakan dalam empat fasa di kawasan seluas 30,000 hektar dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Kami gembira dapat melaksanakan dan meneruskan projek pemuliharaan hutan di Sabah kerana usaha itu bukan sahaja menggembalikan semula habitat haiwan seperti gajah, Orang Utan dan monyet bangkatan, tetapi juga menjadikan kawasan itu sebagai sebuah pusat penyelidikan baharu di negeri ini,” katanya. – SabahNewsToday