Pilih Bahasa

IKM KK wujudkan terowong sanitasi bagi keperluan petugas barisan hadapan: Khairil

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu sedang menyiapkan projek ‘Terowong Sanitasi’ bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan untuk menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Khairil Annuar Sobri berkata pihaknya akan menyerahkan Terowong Sanitasi ini di lokasi yang sudah dikenalpasti untuk membolehkan kakitangan petugas barisan hadapan serta orang ramai melakukan pembasmian kuman sekaligus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Suhaimi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Hospital QEH.-Gambar SNT/Ihsan IKM

Katanya langkah ini merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IKM Kota Kinabalu dalam menyediakan kemudahan yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat sekaligus mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Kita berharap agar sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta petugas barisan hadapan yang berhempas pulas menyekat penularan pendamik Covid-19 ini.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada program I-CARE-M (Khidmat Masyarakat) yang mendekatkan pelajar serta kakitangan IKM Kota Kinabalu untuk bersama-sama masyarakat dalam menangani wabak covid-19 di sekitar ibu negeri” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu selepas menyampaikan sumbangan penutup hidung dan mulut kepada Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu serta Hospital Daerah Tuaran, di sini hari ini.

Suhaimi (tengah) menyampaikan sumbangan ke Hospital Tuaran.-Gambar SNT/Ihsan IKM

Hadir sama Pengarah MARA negeri Sabah, Suhaimi bin Zainuddin, Hospital Daerah Tuaran Pengarahnya Dr. G. Mohan A/L Gopal Naidoo serta Ketua Unit Kesihatan Awam Dan Persekitaran QEH, Arshad Abdul Majid.

Khairil berkata pihaknya juga menyerahkan 200 penutup hidung dan mulut hasil inisiatif sendiri sepuluh kakitangan IKM Kota Kinabalu kepada petugas barisan hadapan bagi menampung kegunaan seharian mereka.

“Kita memperoleh maklumat bahawa hampir 800 keping penutup hidung dan mulut digunakan setiap hari oleh petugas di barisan hadapan dalam menangani wabak covid-19 di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama Khairil berkata pihaknya juga melaksanakan CSR fasa pertama dengan menyerahkan sumbangan makanan serta keperluan asas harian kepada kakitangan kawalan keselamatan, pekerja kontrak pembersihan di sekitar kawasan kampus IKM.

“IKM Kota Kinabalu juga menyerahkan lebihan sumbangan barangan keperluan harian ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)bagi disalurkan kepada pihak yang memerlukan sempena Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ini,” katanya.-SabahNewsToday