Pilih Bahasa

Ilmu sains sukan elemen penting dalam penyediaan atlit berstatus elit

Jin Zhe (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil seorang para peserta Nursyahzwathul Nadhierah Mohd Arif. – Gambar SNT/Ihsan UMS

KOTA KINABALU: Seramai 84 peserta telah menyertai Kursus Sains Sukan Tahap 1 – Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) 2019 yang berlangsung di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Kursus anjuran Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah) itu yang disertai oleh jurulatih-jurulatih dan para penggiat sukan dari seluruh negeri Sabah, bertujuan untuk membantu meningkatkan pengetahuan dalam bidang sains sukan.

Objektif kursus itu adalah untuk melatih, melengkap dan meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam bidang sains sukan sejajar usaha mempertingkatkan lagi prestasi dan pencapaian sukan negara menerusi kaedah latihan yang lebih saintifik dan bersistematik.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata penerapan sains sukan dalam kaedah kejurulatihan sememangnya sangat penting.

Jin Zhe (dua kanan) menerima modul kursus daripada penceramah kursus, Rajeswari Raman pada majlis penutupan Kursus Sains Sukan Tahap Satu di UMS. – Gambar SNT/Ihsan UMS

“Usaha untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dimulakan diperingkat usia muda. Pendekatan melalui aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi. 

“Usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui bantuan sains dan perubatan sukan yang dipelajar oleh para peserta kursus ini,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan kursus itu di sini hari ini.

Jin Zhe berkata kursus sains sukan memainkan peranan penting dalam industri sukan kerana setiap aspek dikaji secara saintifik dan dihubungkaitkan untuk meningkatkan prestasi atlet menerusi latihan bersistematik.

Jin Zhe (duduk depan lima dari kiri) bersama para pegawai dan peserta Kursus Sains Sukan Tahap 1 – SPKK 2019 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS baru-baru ini. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Dalam masa yang sama, katanya ia juga memberi pendedahan awal terhadap aspek sains, perubatan dan teknologi sukan sebagai elemen teras dalam penyediaan atlit elit.

“Tanpa mengaplikasikan sains sukan, jurulatih hanya melatih mengikut perasaan atau `instinct’ sendiri sahaja. Sama ada atlet tersebut berlatih dengan teknik yang betul atau tidak, pencapaian atlet hanya dapat dinilai menerusi penyertaan kejohanan.

“Oleh itu, banyak usaha dan masa atlet atau jurulatih akan dibazirkan begitu sahaja,” jelas beliau yang bahawa penganjuran kursus sains sukan mengiktiraf jurulatih yang berkelayakan melalui Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK). 

Katanya apa yang penting ialah jurulatih perlu mengaplikasikan sains sukan dalam program latihan masing-masing.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Institut Sukan Negara (ISN), MSN Sabah dan UMS kerana membenarkan kursus lima hari itu berlangsung di institut pengajian itu.