Pilih Bahasa

ILMUWAN DIMINTA MENYAMPAIKAN ILMU MENGIKUT PERSPEKTIF SYARAK

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Golongan ilmuan di negeri ini diminta sentiasa menyampaikan ilmu mengikut perspektif syarak dipandu kitab suci al-Quran, iman dan taqwa.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata setiap ilmuan perlu menunaikan amanah keilmuan iaitu sentiasa setia kepada misi dan moral kecendekiawanan.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar (tujuh dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata sebarang penyimpangan atau penyelewengan dalam kalangan ilmuan dalam menghuraikan sesuatu ilmu akan mewujudkan ketidakseimbangan, kerosakan dan gangguan kepada manusia dan alam sekitar.

“Oleh itu, semua ilmuan mesti berlaku adil serta amanah dalam menyampaikan ilmu supaya golongan yang akan menerima ilmu berkenaan tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

“Ilmuan di negeri ini juga hendaklah sentiasa membimbing ummah sehingga berupaya meneroka, mencipta dan mengendali kemajuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis, dekat sini, hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar (dua dari kanan) bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran dan Pelancaran Satu Masjid Satu Polis di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Norjeli Dais dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Berlangsung bermula 13 sehingga 21 Februari hadapan, antara pengisian konvensyen terbabit termasuklah pertandingan khat, kempen derma darah, Majlis Hafazan al-Quran dan Majlis Tilawah al-Quran.

Sementara itu, Aidi mengingatkan seluruh umat Islam di negeri ini agar menjaga hubungan baik sesama saudara seagama kerana Islam amat mementingkan keamanan serta perpaduan.

“Islam tidak hanya sekadar membina hubungan antara manusia dengan Allah semata-mata, tetapi perlu membina hubungan baik sesama manusia,” katanya. –SabahNews Today

-Tamat-