Pilih Bahasa

ILP KK juara Scintex’19

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu muncul juara dalam Sabah Creativity and Innovation Technology Exhibition 2019 (Scintex’19) yang diadakan hari ini di ILP Kota Kinabalu.

Melalui ciptaan Autonomous Rain Detector (ARD) ILP Kota Kinabalu mampu mengalahkan 34 pasukan dalam kategori institusi kemahiran seluruh negeri.

Yusof (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori institut. Gambar SNT/Alfred Petrus

ARD yang direka cipta oleh sepasukan lima pelajar itu dilengkapi dengan penggunaan Arduino, Infrared Sensor dan
Power Window Motor.

Berfungsi sebagai jemuran pintar, rekaan tersebut secara automatik melindungi pakaian daripada basah apabila hujan.

Manakala, tempat kedua bagi kategori berkenaan dimenangi oleh Politeknik Kota Kinabalu (PKK) dan ILP Sandakan merangkul tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemenang, masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, RM700 dan RM500 beserta sijil penyertaan serta trofi.

Bagi kategori sekolah, johan, tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Semporna, SMK Bandaraya Kota Kinabalu dan Kolej Vokasional Keningau.

Pemenang bagi kategori berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 700, RM500 dan RM300 beserta sijil dan trofi.

Sementara, ketika berucap merasmikan majlis penyampaian hadiah Scintex”19, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata perubahan sistem pendidikan perlu dilakukan dengan memberi pendedahan kepada pelajar bermula peringkat sekolah rendah sehingga universiti tentang Revolusi Industri 4.0.

Katanya pelajar perlu diberikan pegetahuan secukupnya untuk membangunkan teknologi contohnya menghasilkan kod dan algorithm serta pembangunan sistem aplikasi yang kini mudah untuk dibangunkan oleh pelajar seawal peringkat sekolah rendah lagi.

“Sekiranya pendedahan awal tentang teknologi berkaitan Industri 4.0 dapat diberkan dan digalakkan, masyarakat akan lebih bersedia untuk berubah selari dengan IR4.0,” jelasnya. -SabahNewsToday