Pilih Bahasa

IMAM RAWATIB ANTARA DITAHAN DALAM OP CEGAH DI BEAUFORT

Oleh Mohd Adam Arinin

Suspek yang mendakwa dirinya bertugas sebagai Imam Rawatib melakukan provokasi ketika operasi Op Cegah 3/2019 dijalankan, awal pagi tadi. Gambar SNT/Ehsan AADK Negeri Sabah

BEAUFORT: “Hisap syabu? Apa kena mengena dengan saya?!”

Itulah provokasi yang dilakukan seorang suspek yang mendakwa dirinya bertugas sebagai Imam Rawatib di sebuah kampung di sini ketika ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Cegah Siri 3/2019, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Operasi AADK Negeri Sabah Erwan Roslan berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dirumahnya setelah mendapat maklumat penglibatan suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Ketika pegawai dan anggota AADK memperkenalkan diri selepas pintu rumah dibuka, suspek bertindak melakukan provokasi dengan bertanya apa kena mengena dia dengan operasi yang sedang dijalankan.

“Pada masa yang sama, ibu suspek terkejut dan menangis melihat anak lelakinya itu ditahan untuk dibawa ke pejabat AADK Beaufort bagi proses dokumentasi dan ujian saringan awal air kencing,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday.

Ketua Operasi AADK Negeri Sabah Erwan Roslan (berdiri, tiga dari kanan) bersama anggota dan suspek yang ditahan dalam Op Cegah 3/2019 sekitar Beaufort, awal pagi tadi. Gambar SNT/Ehsan AADK Negeri Sabah

Tambah Erwan, hasil ujian saringan awal air kencing suspek mendapati Imam Rawatib itu terbabit positif dadah jenis syabu.

“Ketika kita menyoal suspek bila kali terakhir beliau mengambil dadah di rumahnya sewaktu operasi, dia bertindak melakukan provokasi terhadap pihak AADK.

“Namun, setelah ujian urin yang dijalankan terhadapnya, suspek mengaku kali terakhir mengambil bahan terlarang itu tiga hari lepas,” jelas Erwan.

Operasi yang bermula pada jam 1 pagi dan berakhir tiga jam kemudian ini menahan seramai 10 individu dan seramai sembilan daripadanya positif dadah.

Sebanyak tiga buah kampung sekitar daerah Beaufort menjadi lokasi serbuan iaitu Kampung Klias, Kampung Pintas, dan Kampung Lumadan.

“Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkairan penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK daerah ini ditalian 087-222667 atau tampil di pejabat AADK berhampiran,” katanya. -SabahNewsToday