Pilih Bahasa

Imam surau Kampung Mamaitom Tenom maut ditetak sepupu

Oleh Junaidi Ladjana

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat ditetak di bahagian belakang kepala. Gambar SNT / ihsan pembaca

TENOM: Seorang Imam maut selepas ditetak oleh sepupunya sendiri ketika selesai solat subuh dalam kejadian berhampiran surau Kampung Mamaitom, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa Platani Ukir, 35, dikatakan baru selesai menunaikan solat subuh di surau kampung berkenaan lalu kembali semula ke tempat letak motosikalnya yang berada di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, mangsa dipercayai diserang dari arah belakang oleh suspek dan menetak di bahagian belakang kepala hingga menyebabkan parah dan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

“Saksi kejadian yang menyedari perkara itu selepas terdengar bunyi bising lalu melihat mangsa terbaring dan suspek menekan leher mangsa sambil memegang tukul dan terdapat sebilah parang dipinggangnya.

“Saksi cuba membantu tetapi dihalang oleh suspek sebelum menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menahan suspem dan turut merampas sebilah parang dan tukul daripada suspek terbabit.

Suspek yang juga sepupi mangsa dilihat menekan leher mangsa selepas menetaknya. Gambar SNT / ihsan media sosial

“Siasatan lanjut mendapati mangsa adalah sepupu kepada suspek.

“Siasatan juga mendedahkan bahawa suspek dipercayai seorang pesakit mental. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan suspek berusia 53 tahun kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -SabahNewsToday