Pilih Bahasa

IMELDA DINOBATKAN RAANI TAVANUS SINO KDM 2018

Oleh Alfred Petrus

Imelda Lim (tengah) dinobatkan sebagai Raani Sino KDM 2018. Manakala Natalia (kiri) dan Audreal (kanan) ditempat kedua dan ketiga. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Imelda Lim, 23, dinobatkan sebagai Raani Tavanus Sino Kadazandusun Murut (KDM) Sabah selepas mengalahkan 19 peserta akhir lain pada perayaan Pesta Koubasanan Om Raani Tavanus Tadau Sino KDM Sabah 2018 pada Sabtu.

Dengan memperagakan pakaian suku kaum Dusun Tindal Kota Belud dan Cheongsam moden berwarna merah jambu menjadi langkah kanannya selepas kali kedua menyertai ratu cantik selepas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat negeri pada 2013.

“Ini adalah kali kedua saya menyertai pertandingan seumpama ini selepas lima tahun lalu menyertai UNK mewakili daerah Kota Belud.

Antara tujuh peserta akhir Raani Sino KDM 2018. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sepanjang lima tahun ini, saya tidak menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kerana mahu menumpukan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Koubasanan Om Raani Tavanus Tadau Sino KDM Sabah 2018.

Katanya penyertaan beliau dalam pertandingan Raani Tavanus Sino KDM kali ini adalah hasil pujukan daripada rakan-rakan seperjuangannya.

Pengenalan seramai 20 peserta akhir Raani Sino KDM 2018 dengan memperagakan pakaian tradisi suku kaum Sino dan KDM. Gambar SNT/Alfred Petrus

Jelasnya beliau menerima cabaran berkenaan bukan untuk menjadi juara dalam pertandingan tetapi untuk membina keyakinan diri apabila berada di atas pentas dan di hadapan khalayak ramai.

Melalui keyakinan yang terdapat dalam diri beliau, Imelda berjaya membawa pulang kemenangan sebagai Raani Sino KDM dengan hadiah wang tunai sejumlah RM1,500, mahkota, trofi, selempang, jambangan bunga dan barangan tajaan lain.

Pusingan kedua pertandingan Raani Sino KDM yang mana 20 peserta akhir memperagakan pakaian tradisi suku kaum Cina iaitu Cheongsam. Gambar SNT/Alfred Petrus

Manakala, tempat kedua dan ketiga dimenang oleh Natalia Chee dan Audreal D. Chai Qi.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,300 dan RM1,200.

Selain itu, Natalia dan Audreal turut membawa pulang trofi, selempang, jambangan bunga dan barangan tajaan lain.

Sementara itu, empat peserta lain yang berjaya ke pusingan akhir adalah Angela O’Drie Leong, Vivian Woon, Olivia Chin dan Gwendoline Ng. -SabahNewsToday