Pilih Bahasa

IMPAK POSITIF BAGI RAKYAT SEKITAR SUNGAI PUTATAN-PETAGAS

Oleh Datu Ruslan Sulai

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai (kiri) ketika menghadiri taklimat daripada pakar dan ahli penyelidikan UMS di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Kota Kinabalu: Rakyat di daerah Putatan khususnya penduduk di sekitar kawasan Petagas bakal menerima impak positif susulan rancangan ‘memperbaharui’ Sungai Putatan – Petagas dalam usaha meningkatkan produktiviti dan eko-pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai berkata, satu kertas kerja serta kerjasama antara pihaknya dengan tenaga pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini sedang giat dijalankan dalam usaha merealisasikan cadangan berkenaan di masa hadapan.

Beliau berkata, rancangan ‘mega’ itu dijangka memberikan manfaat menyeluruh kepada semua penduduk di Putatan termasuklah ekonomi, taraf hidup dan sosial selaras dengan skop Sustainable Development Goals (SDG) yang di kelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kini pihak DUN N. 18 Petagas sedang menjalin satu usahasama dengan pihak UMS untuk mencari jalan penyelesaian memperbaharui, memperbaiki serta membersihkan Sungai Putatan – Petagas.

“Satu perbincangan dua hala sudah dilakukan baru-baru ini dalam mencari mekanisme terbaik untuk rejuvenate Sungai Putatan – Petagas nanti dan bagi tujuan demikan, pelbagai langkah bakal diambil termasuklah mengkaji tahap pencemaran, biologi, sosial serta lain-lain perkara.

“Cadangan ini juga akan diusul kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan saya percaya beliau akan menyokong usaha murni kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat daripada pakar dan ahli penyelidikan UMS di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), baru-baru ini.

Rombongan yang dibarisi oleh pensyarah-pensyarah UMS terdiri daripada Profesor Dr Rosazman Hussin (Kemanusiaan dan Warisan), Profesor Madya Dr Jidon Adrian Janaun (Kejuruteraan), Profesor Madya Dr Gaim James Lunkapis ((Kemanusiaan dan Warisan), Dr Aseyah Uy Abubakar (Kemanusiaan dan Warisan), Dr Lee Kuok Tiung (Kemanusiaan dan Warisan) serta Julius Kulip (Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan).

Mengulas lanjut, Uda berhasrat menjadikan pembangunan semula Sungai Putatan – Petagas itu menjadi mirip kepada Sungai Venice di Italy dan mahu ianya direalisasikan demi kepentingan penduduk setempat.

“Sekiranya perkara ini berjaya direalisasikan, ianya secara tidak langsung mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk terutamanya mereka yang tinggal berhampiran Sungai Putatan – Petagas seperti menawarkan perkhidmatan pelancongan, produk kuih muih, restoran dan lain-lain lagi.

“Ini juga selaras hasrat kita memperkasakan penduduk di Petagas kerana kawasan berkenaan sungguh hampir dengan Kota Kinabalu dan lapangan terbang ditambah biodiversitinya yang terkenal,” katanya.

Menurut beliau, antara intipati taklimat berkenaan turut membincangkan mengenai kajian menyeluruh tahap pencemaran Sungai Petagas, kelangsungan biologi, pemeliharaan tumbuhan, komuniti dan kesedaran penduduk mengenai kebersihan sungai..

Di samping itu, Uda meminta pihak berkaitan untuk menanam pokok ‘putat’ di sekeliling sungai Putatan bagi mengenang dan mengembalikan nostalgia nama daerah berkenaan yang diambil dari tumbuhan tersebut. -SabahNewsToday