Pilih Bahasa

Indonesia minat jalin kerjasama dalam pelbagai bidang dengan Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Syed Abas (kiri) menunjukkan buku mengenai Sabah kepada Krishna Djelani semasa kunjungan rombongan Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu di Pejabat Speaker Dun Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Pejabat Speaker Dun Sabah

KOTA KINABALU: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani menjelaskan Indonesia sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan Sabah di samping mengeratkan hubungan dua hala melalui pelbagai potensi yang boleh diterokai bagi memenuhi permintaan penduduk di Kalimantan.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif yang baik kerana bukan sahaja mewujudkan hubungan  kerjasama yang berkesan tetapi juga menyelesaikan beberapa masalah yang wujud dalam isu perdagangan antara dua sempadan.

“Sabah amat bertuah kerana mempunyai dua Konsulat Jeneral Indonesia yang terletak di Tawau dan Kota Kinabalu.

“Konsulat itu akan bekerjasama dengan kerajaan dan mengeratkan lagi persahabatan khususnya dalam aspek sosial, ekonomi dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abad Syed Ali di Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, kelmarin.

Krishna berkata selain memupuk hubungan silaturahim antara Sabah, Malaysia dan Indonesia kunjungan itu dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua buah negara.

Katanya ia penting bagi memastikan hubungan antara kedua negara sentiasa kukuh dan erat di samping rakyat kedua-dua buah negara terus hidup dalam suasana aman dan harmoni. – SabahNewsToday